Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel pada Isnin mengumumkan senarai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara berikutan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk parti itu mengadakan semula pemilihan semua jawatan dalam parti itu.

Beliau berkata RoS telah mengarahkan ahli CWC yang dipilih bagi penggal 2009-2012 akan memegang jawatan sebagai ahli CWC Sementara sehingga proses pemilihan semula itu selesai.

"Walaupun arahan seperti itu oleh RoS tidak diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan 1966 atau Perlembagaan MIC, parti ini akan menjalankan pemilihan semula sebagai penyelesaian kepada isu ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, dalam sidang media di sini, berkata parti kaum India berusia 68 tahun itu perlu mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan termasuk peringkat cawangan dan bahagian bermula April hingga Julai ini.

Keputusan RoS itu, katanya, bagi memastikan isu pertikaian dalam pemilihan barisan kepimpinan parti pada November 2013 itu dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Palanivel berkata beliau telah melantik sembilan ahli CWC mengikut Perkara 46.5 Perlembagaan MIC.

Mereka adalah Datuk S. Sothinathan, Datuk S.Balakrishnan, S.Sunther, Senator Datuk V. Subramaniam, R.Vidyanathan, M.Karuppanan, Datuk M.S.Mahadevan dan L.Sivasubramaniam.

"Selaras dengan kuasa mutlak yang diberikan kepada saya sebagai presiden di bawah Perkara 49 Perlembagaan MIC, saya melantik tiga orang daripada CWC Sementara.

"Mereka ialah Sothinathan sebagai setiausaha agung parti, Datuk S. Murugesan sebagai bendahari agung dan Sivasubramanian sebagai ketua penerangan," katanya.

Katanya tiada wakil daripada sayap Putera atau Puteri dalam CWC Sementara kerana kedua-dua sayap itu belum wujud semasa pemilihan pada 2009 dan sayap itu hanya ditubuhkan selepas pindaan perlembaan parti pada September 2009.

Palanivel berkata mengikut Perkara 60.3 Perlembaan MIC, beliau mempunyai kuasa untuk mengawasi pentadbiran parti.

"Saya akan memanggil mesyuarat CWC Sementara supaya mengambil langkah-langkah yang sewajar bagi mengadakan pemilihan semula," katanya.

Barisan CWC Sementara:
----------------------
Presiden: Datuk Seri G.Palanivel

Timbalan Presiden: Datuk Seri Dr S.Subramaniam

Naib Presiden: 1. Datuk Seri S.K.Devamany, 2. Datuk M.Saravanan

Ahli CWC:
---------
1. A.Sakthivel
2. Senator Datuk Jaspal Singh
3. Datuk V.S.Mogan
4. Datuk M.Davendran
5. Datuk S.S.Rajagopal
6. Datuk R.Ganesan
7. Datuk S.Ganesan
8. Datuk S.Murugesan
9. Datuk R.Moorthy
10. K.R.Parthiban
11. M.Asojan
12. Datuk Randhir Singh
13. Datuk K.R.A.Naidu
14. S.Ananthan
15. Datuk M.M.Samy
16. S.P.Manivasagam
17. Datuk V.M.Panjamothy
18. Datuk A.Ganesan
19. N.Rawisandran
20. P.Palaniappan
21. Mathuraiveran
22. K.P.Samy
23. Datuk P.K.Subbayah (mendiang)
24. Datin Paduka K.Komala (Ketua Wanita)
25. T.Murukasvary (Wanita)
26. M.Mohana (Wanita)
27. Datuk T.Mohan (Ketua Pemuda)
28. P.Shanmugan (Pemuda)
29. Datuk G.Kumaar Aamaan (Pemuda)