PANDEMIK mengajar jutaan warga kerja dan pelajar menggunakan aplikasi telesidang seperti Zoom dan Google Meet.

Ia juga mendedahkan satu kekurangan iaitu jika anda ingin berpindah dari telefon ke komputer riba misalnya, panggilan di telefon perlu dihentikan sebelum disambung semula pada komputer.

Ia membuang masa serta merencatkan kelancaran perbualan.

Google Meet kini hadir dengan ciri baharu yang menyelesaikan isu ini.

Pengguna kini boleh memindahkan panggilan Google Meet antara telefon pintar dan pelayar web tanpa henti.

Untuk memindahkan panggilan hanya buka Google Meet pada pelayar web dan tekan butang “Switch here”. Panggilan pada telefon kini disambung dengan lancar pada pelayar web.

Pemindahan secara berbalik juga boleh dilakukan dengan kelancaran yang sama.

Terdapat juga pilihan “Other joining options” yang membolehkan sesi panggilan Google Meet digunakan pada dua peranti serentak. 

Senario penggunaan yang boleh difikirkan ialah memindahkan perbincangan Google Meet di dalam kereta ke komputer riba di pejabat.

Ciri ini akan diberikan secara berperingkat kepada pengguna Google Workspace dan pemegang akaun Google dalam masa beberapa minggu.