KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 6,663 orang daripada 2,331 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 6,655 orang daripada 2,326 keluarga yang direkodkan 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan daerah Beaufort menunjukkan trend peningkatan mangsa, iaitu 1,548 orang daripada 545 keluarga berbanding 1,529 orang daripada 535 keluarga.
Advertisement
Jumlah mangsa di dua daerah lagi masih kekal, iaitu Tenom dengan 4,345 orang daripada 1,467 keluarga dan Membakut (441 orang,173 keluarga) manakala di Sipitang, jumlah mangsa berkurang kepada 329 daripada 146 keluarga berbanding 340 orang daripada 151 keluarga.
Kesemua mereka ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara, yang dibuka sejak Rabu lepas melibatkan 177 kampung di empat daerah berkenaan yang turut terjejas dengan bencana banjir.
-- BERNAMA