KUALA LUMPUR: Rakyat seharusnya mendapat manfaat daripada Parlimen yang lebih bebas apabila wakil mereka, sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang, mempunyai ruang untuk mempersoalkan dasar kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 akan memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab setiap Ahli Parlimen tanpa mengira blok.
Menurutnya, perubahan itu juga dapat mengubah persepsi bahawa Parlimen lebih memihak kepada kerajaan.
“Tak boleh lagi menganggap bahawa Parlimen ini kena tunduk dengan suara kerajaan. Macam premis itu sudah tidak wujud lagi dengan ada akta ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Azalina berkata, manfaat kepada rakyat juga dapat dilihat apabila seseorang Ahli Parlimen tidak lagi hanya bergantung kepada kedudukan dalam kerajaan untuk memainkan peranan mereka.
Katanya, Ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan, penyokong kerajaan atau pembangkang mempunyai hak untuk mempersoalkan dasar kerajaan.
Beliau turut menyatakan Parlimen juga akan mempunyai bahagian gubalannya sendiri termasuk parliamentary draftsman, berbanding ketika ini apabila penggubalan undang-undang dilaksanakan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Azalina, bahagian gubalan itu akan membantu Ahli Parlimen dalam proses membuat undang-undang, termasuk mempersoalkan undang-undang kerajaan dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.
“Undang-undang kerajaan boleh dipersoal, undang-undang sedia ada boleh buat pindaan kerana mempunyai bahagian gubalannya.
“Ini yang betul-betul pengasingan kuasa. Mahkamah bebas. Eksekutif bebas. Sekarang ini Parlimen akan bebas,” katanya.
Menurut Azalina, kebebasan Parlimen itu bukan sekadar dari segi prinsip, sebaliknya akan dilaksanakan menerusi perubahan dalam aspek perjawatan dan kewangan.
“Maknanya jadi Ahli Parlimen sekarang tak boleh ada alasan mengatakan saya tak mampu sebab saya bukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan itu bagaimanapun tidak bermaksud Parlimen terlepas daripada pertanggungjawaban, sebaliknya proses akauntabiliti kekal dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu dan kini memasuki fasa pelaksanaan.
Azalina berkata, Jawatankuasa Pemilih akan bermesyuarat minggu depan bagi memilih wakil yang akan menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.
Ia termasuk masing-masing dua wakil Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang, selain dua Ahli Dewan Negara.
Nama wakil kerajaan dan pembangkang itu kemudiannya akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diundi dan bukan dilantik secara terus oleh Speaker.