KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan sekali lagi menarik perhatian Dewan Rakyat apabila membuat dakwaan berhubung dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menjadi 'ejen pemujuk' supaya beliau menyokong kerajaan.

Beliau mendedahkan individu itu sebagai Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang membuat tindakan berkenaan bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim.

"Antara tawaran yang dibuat adalah mengenai peruntukan Parlimen, peruntukan projek sehingga RM2 juta, bayaran untuk kos perubatan isteri saya dan kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.

"Ada juga token yang tidak dinyatakan jumlahnya dan juga pengguguran kes saya di mahkamah.

"Tawaran-tawaran ini dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang bersama dua orang individu yang memperkenalkan diri sebagai Hasnan dan Datuk Azman pada 17 Januari 2024.

"Seorang lagi yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Rahim pada 26 Februari 2024. Mereka diperkenalkan kepada saya oleh Yang berhormat Parlimen Tanjung Karang.

"Kemudian, mereka ini, termasuklah juga Yang Berhormat Ahli Parlimen Tanjung Karang telah menghantar cadangan kepada saya yang mengandungi ucapan yang mana mereka mahu saya bacakan pada Titah Diraja pada 27 Februari lalu," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, Wan Saiful  meminta Dewan Rakyat menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat tindakan dua anggota Parlimen yang membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan kepada kerajaan.

"Saya mengemukakan peraturan 80 (a) kerana sudah ada kes duluan pada 2009 membabitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

"Saya ingin mencadangkan dewan ini membuat ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (A) yang dibaca bersama Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini," katanya.

Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful mendakwa ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesan pendedahannya itu, beliau mendakwa tidak sampai sejam dihubungi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memintanya membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Minggu lalu, Wan Saiful mendakwa beliau menerima notis SPRM yang disifatkannya mengganggunya sehingga memberi tekanan tidak wajar kepada beliau sebagai Ahli Parlimen.