Skip to main content

Politik

Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu cari titik persamaan - Azman

KUALA LUMPUR, 9 Feb - Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berucap pada Program Ceria Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini. Seramai 100 orang daripada golongan asnaf, anak yatim dan warga emas di Parlimen Bandar Tun Razak serta penggiat seni tempatan yang kurang berkemampuan menerima sumbangan menerusi program anjuran Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Politik bersifat dinamik dan perubahan dalam hubungan antara parti boleh berlaku pada bila-bila masa, namun tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada usaha membina negara. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

MELAKA: Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mencari titik persamaan dan memberi keutamaan kepada kestabilan pentadbiran negara berbanding memperbesarkan perbezaan politik, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata politik bersifat dinamik dan perubahan dalam hubungan antara parti boleh berlaku pada bila-bila masa, namun tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada usaha membina negara serta memastikan kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Bagi saya, lebih baik kita cari apa common ground (titik persamaan) kita daripada kita cari perbezaan kita kerana politik ini sangat dinamik. Esok kita berkawan, lusa kita berlawan.

“Jadi bagi saya, kita hormati mandat rakyat. Satu penggal, kita habiskan satu penggal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian cawangan baharu kedai emas Sri Semantan, Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Azman berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memberi fokus kepada pentadbiran negara dan memastikan baki penggal yang ada digunakan sebaik mungkin untuk rakyat.

“Bagi kita, kita nak fokus kepada pentadbiran negara dan kita nak pastikan bahawa baki penggal yang kita ada ini kita buat terbaik untuk rakyat kerana ada banyak kerja lagi yang kita kena buat.

“Ada bermacam-macam cabaran ekonomi yang mungkin kita akan lalui dan Perdana Menteri nak fokus kepada perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata kestabilan kerajaan amat penting bagi membolehkan negara memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta membuka lebih banyak peluang pelaburan yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Azman berkata Pakatan Harapan (PH) sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk persaingan.

Beliau berkata PH juga bersedia untuk bertanding secara solo atau melalui kerjasama dengan mana-mana gabungan, namun ketika ini keutamaan perlu diberikan kepada pelaksanaan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement