Bekas setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) tidak akan kekal lama dan menyifatkan ahli yang menganggotainya sebagai mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan PAS, Jun lalu.

Beliau turut berkata bahawa parti baharu itu tidak mempunyai kekuatannya tersendiri.

"Apa matlamat Harapan Baru? Ia hanya kesinambungan daripada PasMa yang diharapkan DAP untuk ganti PAS," beliau memberitahu The Malaysian Insider beberapa jam selepas parti baru itu diumumkan.

Pengarah pilihan raya PAS itu turut mendakwa bahawa parti baharu itu hanya proksi kepada DAP dan tidak mendapat sambutan dari PKR.

"Persepsi Harapan Baru hanya proksi kepada DAP saja, ia adalah sebuah parti yang disokong DAP dalam apa bentuk sokongan sekalipun. Parti ini tidak ada apa-apa melainkan mendapat sokongan DAP," katanya lagi dalam wawancara eksklusif itu.

Parti baru yang diterajui pemimpin progresif dalam PAS yang kalah semasa pemilihan parti baru-baru ini diumumkan penubuhannya pada pagi Isnin.

Pengerusi parti tersebut, Mohamad Sabu berkata, parti itu dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

"Parti ini berteraskan Islam dengan pendekatan inklusif, progresif dan mengambil peduli terhadap rakyat. Ini merupakan permulaan kepada kerjasama baru atau Pakatan Rakyat 2.0," beliau dilaporkan berkata.

Antara pemimpin yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah bekas calon presiden PAS Ahmad Awang, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

Selain mereka, turut hadir ialah anak bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.