LANGKAWI: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti-parti yang mewakili kaum Melayu kini sebenarnya sudah menjadi parti minoriti.

Bercakap kepada media, Dr Mahathir berkata selagi parti-parti Melayu tidak bersatu ia akan mengakibatkan parti-partu tersebut perlu bergantung antara satu sama lain untuk menang.

Mengulas lanjut mengenai hasratnya untuk kembali semula kepada UMNO, beliau menyatakan parti itu sekarang ini sudah rosak.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui mempunyai banyak formula untuk mengatasi perkara tersebut namun katanya tidak ramai yang bersetuju.

“Masa tu orang tanya masuk UMNO tapi sebenarnya UMNO sekarang ni dah jadi kotor. Jadi, nak balik ke UMNO dalam keadaan kotor tu tak boleh la, tapi kalau orang UMNO nak keluar dan masuk bersama kita boleh la kita berkerjasama.

"Orang asyik bercakap pasal Melayu unity (bersatu), ini tak akan terjadi pasal masing-masing ada rancangan masing-masing.

"Jadi masing-masing tak nak kerjasama... kita dah jadi minoriti, (iaitu) parti-parti kecil belaka (dan) kena bergantung kepada orang untuk menang," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Pada Rabu, Tun Mahathir berkata beliau sedia kembali ke pangkuan UMNO sekiranya parti itu kembali berpegang kepada dasar awalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

BACA: Saya boleh kembali kepada UMNO... - Tun Mahathir

“Saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang 'penyangak-penyangak' semua minta maaflah, saya tak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.