KUALA LUMPUR: Parti politik perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri dan membentuk satu kerajaan yang stabil untuk beberapa bulan atau setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan pada tahun hadapan atau selewat-lewatnya 2023.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, mandat rakyat agak sukar diterjemahkan kepada PRU dalam masa terdekat kerana pandemik COVID-19 atau sebelum peratusan imuniti kelompok tercapai.

"Ini kerana kita tidak mampu lagi untuk melaksanakan e-undi dan perkara baharu yang ingin kita perkenalkan. Jadi pilihan raya itu sukar untuk dilakukan dengan cara norma baharu dalam era pandemik ini. Jadi ia menyebabkan pilihan raya itu agak sukar diadakan dalam masa terdekat.

"Jadi macam manapun pilihan yang kita ada sekarang ini, sebab mandat rakyat masih ada sampai 2023, jadi sekiranya pihak bertelagah boleh mencari kata putus dan kata kompromi sesama mereka untuk membentuk kerajaan sehingga ke peringkat tamat tempoh mandat tersebut, saya kira masih lagi boleh kerajaan dibentuk.

"Ada cadangan tentang kerajaan interim dan sebagainya. Itu memerlukan kompromi dan perbincangan lanjut daripada parti politik untuk membentuk kerajaan yang begitu," katanya semasa dihubungi pada Rabu.

BACA: Negara perlu politik dan kerajaan yang stabil - Penganalisis

BACA: PH nampak bersedia terajui semula Putrajaya, tiada tentangan Pejuang dan Warisan - Penganalisis

Mohd Azizuddin sebelum ini menjelaskan, sesuatu yang malang apabila berlaku kekalutan politik dalam negara kerana ia tidak membantu dalam menghadapi krisis kesihatan ketika ini.

Tambahnya, pilihan raya juga boleh dilakukan menerusi pos jika ia terpaksa diadakan seperti yang berlaku pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Mohd Azizuddin, kaedah pengundian serta kelengkapan yang mencukupi perlu disediakan, dan ketika ini, katanya, beliau tidak melihat keupayaan tersebut dimiliki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini menjelaskan, mengembalikan semula mandat rakyat merupakan jalan terbaik untuk mengatasi kemelut politik yang berlaku di negara ketika ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukanlah bermaksud kerajaan perlu mengadakan PRU15 dalam waktu terdekat, tetapi ia harus segera diadakan apabila keadaan negara sudah kembali stabil.