Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berpandangan hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu, bukan hanya usaha sia-sia malah tidak akan kekal lama.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata penubuhan sesebuah parti perlu berasaskan kepada perjuangan dan bukan bersifat peribadi.

"Bagi saya kalau ada orang berjuang dalam politik hanya untuk kepentingan peribadi, hendak menyerang peribadi orang lain, ia tidak akan lama.

"Setiap perjuangan mesti berasaskan ideologi. Perjuangan mesti berasaskan falsafah perjuangan, kalau berjuang untuk menjatuhkan seseorang, itu jangka pendek, jadi insya-Allah, mungkin Tuhan tidak akan bersama (dalam perjuangan itu)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelajar Program Parlimen Mahasiswa Kali Kedua 2016 di sini hari ini.

Jelas Abdul Aziz, Mubarak bersifat terbuka terhadap mana-mana bekas pemimpin yang mahu menubuhkan parti baharu memandangkan negara mengamalkan sistem demokrasi.

"Kita terbuka, sesiapa sahaja boleh buat parti politik. Ini demokrasi bebas untuk buat (parti baharu). Soalnya; efektif atau tidak efektif itu lain kira. Banyak tak banyak pengikutnya lain kira.

"Hendak buat parti, kita boleh buat parti, semua orang boleh buat parti. Tun Dr Mahathir rasa mereka boleh buat parti, buatlah. Tidak mengapa," katanya.

Justeru, katanya, Mubarak tidak panik mahupun tergugat berhubung hasrat Tun Dr Mahathir itu.

Khamis lalu, Tun Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Mengenai persidangan Parlimen Mahasiswa yang akan diadakan pada 26 dan 27 Julai ini, beliau berkata persidangan kali ini turut disertai enam institusi pengajian tinggi swasta termasuk 20 institusi pengajian tinggi awam tempatan.

"Seramai 210 perwakilan akan bersidang kali ini. Kami (Mubarak) syorkan universiti terlibat memberi peluang kepada semua kaum dan jantina," katanya.

Katanya usul-usul perbahasan adalah bersifat kontemporari yang dihadapi perwakilan yang juga mahasiswa mewakili institusi pengajian tinggi masing-masing.

"Sebelum bersidang, perwakilan akan menyertai bengkel selama tiga hari bermula 23 Julai ini. Pada bengkel tersebut prestasi pencapaian mereka juga akan dinilai barisan panelis diketuai Ketua Penerangan Mubarak, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman," katanya.