KUALA LUMPUR : Pas mengakui masih wujud perasaan 'takut' sesetengah pihak terhadap Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali RUU 355.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, RUU 355 sebenarnya merujuk kepada suatu perundangan yang hanya menumpukan kepada orang Islam.

"Dalam Pas kita bercakap tentang hudud ini dalam konteks perundangan tetapi apabila kita deliver (sampaikan) kepada rakyat, kita tengok lunas perlembagaan iaitu mengukuhkan RUU 355 dan sebagainya.

"Namun, orang meletakkan 'ketakutan', sedangkan RUU 355 ini ada spesifik hukuman yang diletakkan orang Islam tetapi tetap dikaitkan dengan benda lain," katanya semasa menjadi panel program Dialog Tiga Penjuru bertajuk "Tidak Perlu Fobia dengan Islam" yang disiarkan di saluran  pada Khamis.

Ujarnya lagi, pimpinan Pas sentiasa bertoleransi terhadap banyak perkara.

Dalam masa sama, katanya naratif bahawa Pas suka melabelkan mana-mana pihak sebagai 'lebih Islam' dan 'tidak Islam' juga perlu diperbetulkan.

"Kalau nak kata Pas melabel orang lain lebih Islam, dan ini tidak Islam, saya rasa itu adalah naratif yang perlu diperbetulkan sebab dalam Pas ada gerak kerja yang secara spesifik meraikan, apatah lagi dalam masyarakat majmuk dalam Malaysia," ujarnya. 

Malah, katanya sikap toleransi Pas terhadap semua kaum dan agama memastikan parti itu kekal relevan sehingga ke hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, RUU 355 tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran Parlimen.

Secara prinsipnya, jelas beliau, memorandum mengenai RUU itu dipersetujui di peringkat jemaah menteri pada 26 Ogos lalu.