PAS bukan sebuah parti yang mengangkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi menjelaskan banyak pihak bertanya kenapa PAS tidak mengambil peluang ketika parti lawan sedang menghadapi krisis dan masalah dalaman.

Tegas ahli parlimen Marang itu, politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam.

"Kepada ahli dan penyokong setia PAS, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala.

"Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimpin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan ummah dunia dan akhirat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi menggunakan perumpamaan nelayan yang bijak dalam mencari hasil tanpa membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat.

Justeru, Abdul Hadi menyeru agar dipilih politik yang jernih dan matang, bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua.

"Kepada pihak yang lain saya tegaskan, bahawa kita adalah parti Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah bersama dakwah dan Siasah Syariah, berkepimpinan ulama dan ilmuwan yang wajib beriman dan budiman," katanya.