KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dinamakan sebagai calon PAS bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengumuman mengenainya dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada ceramah perdana majlis pengisytiharan calon PAS PRK Kemaman di sini malam ini.

Samsuri, 53 yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dan Naib Presiden PAS itu dijangka berdepan bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15).

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala 28 Nov dan 2 Dis masing-masing bagi pengundian awal dan hari mengundi.

Pada PRU15 Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi sekali gus menyaksikan PAS mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Dua lagi calon yang bertanding di kerusi itu pada PRU15 ialah Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dengan masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.

-- BERNAMA