Pentadbiran Pas di Kelantan sejak 25 tahun lalu gagal dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Kegagalan Pas ini jelas Ibrahim adalah disebabkan pemimpinnya tidak mempunyai kemahiran dalam mentadbir negeri dan tidak kreatif untuk membangunkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Lebih memburukkan keadaan bila pemimpin Pas sering menggunakan alasan tidak memperoleh royalti minyak untuk membangunkan negeri itu.


"Ini adalah kelemahan Pas, mereka suka menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka. Betullah kerajaan pusat pun tidak sepatutnya sekat royalti tersebut tetapi sebagai pemimpin kita kena ada kemahuan dan kreatif untuk membangunkan Kelantan.

"Kelantan kaya dengan sumber alam dan juga kaya dengan seni budaya. Malah dari segi budaya, Kelantan sebenarnya lebih banyak seni budaya berbanding Melaka.

"Tapi kenapa Kelantan tidak boleh guna seni budaya dan sumber alam untuk bangunkan ekonomi negeri?" soal Ibrahim dalam temu bual bersama Astro AWANI baru-baru ini.

Selain menyalahkan orang lain atas kegagalan membangunkan Kelantan, pemimpin Pas negeri itu juga menggunakan alasan agama apabila rakyat menuntut pembangunan.

Selain itu, hujah agama ini juga digunakan pemimpin Pas Kelantan dalam menutup kelemahan dan kegagalan pentadbiran mereka selama 25 tahun di negeri tersebut.

"Bila rakyat merungut nak rumah yang elok, dia akan jawab betul tapi ini ujian Allah kalau kita sabar esok-esok rumah kita yang kekal di akhirat, dunia ni sementara. Bersabarlah. Lepas tu dia baca ayat Quran. Ini kerja Pas di Kelantan, tapi dia sendiri rumah elok," katanya lagi

Disebabkan tiada pembangunan dan sukar mencari rezeki, ramai rakyat Kelantan yang berhijrah ke negeri lain terutama ke Kuala Lumpur.

"Usahkan yang berkelulusan tinggi, malah yang jual kuih, nasi kerabu, nasi dagang pun kena datang ke Kuala Lumpur untuk mencari nafkah," katanya lagi.

Ibrahim berpendapat Kelantan boleh dibangunkan menjadi negeri yang hebat jika mempunyai sebuah kerajaan dan pemimpin yang kreatif serta ada keinginan mahu memajukan negeri sendiri.