Pas Melaka mengumumkan kesediaan untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, 27 kerusi itu membabitkan lima daripada enam kerusi Parlimen dan 22 daripada 28 kerusi DUN.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan data yang dikumpul parti itu dan selepas mengukur persiapan yang dibuat jentera parti.

Jelasnya, senarai calon telah diserahkan kepada pucuk pimpinan Pas dan 50 peratus daripada mereka merupakan muka baharu yang terdiri daripada kalangan agamawan serta profesional.

"Ini keputusan kita dan senarai nama telah dihantar ke pucuk pimpinan pusat selain akan diputuskan Majlis Syura," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Himpinan Hijau Pas Melaka di Telok Mas di sini pada Sabtu.

Pada pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Pas meletakkan 14 calon di Melaka dan memenangi satu kerusi di DUN Bukit Baru.

Selain itu, Kamaruddin berkata, Pas Melaka yakin jentera dan pimpinan Pas di semua peringkat telah bersemangat serta bersedia untuk menghadapi PRU14 sekali gus berdepan parti lawan sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan.