ISTANBUL: Menteri Tenaga Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Salman Al Saud pada Isnin berkata projek tenaga nuklear nasional negara itu berjalan mengikut perancangan.
Berucap pada Persidangan Agung ke-70 Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, beliau berkata dunia kini menyaksikan peningkatan pesat permintaan tenaga didorong perkembangan ekonomi, teknologi dan perindustrian.
“Mempelbagaikan sumber tenaga serta memastikan kebolehpercayaan dan kemampanannya kini menjadi satu keperluan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga,” katanya, menurut Anadolu Ajansi.
Beliau berkata Arab Saudi telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sumber tenaga yang boleh dipercayai dan rakan aktif dalam pasaran tenaga global, sambil terus melabur dalam pelbagai sumber dalam sektor tenaga dan mineral.
“Arab Saudi sedang bergerak ke hadapan dalam membangunkan campuran tenaga nasional yang menyeluruh, termasuk tenaga nuklear bagi memanfaatkan sumber yang tersedia,” katanya.
Putera Abdulaziz menegaskan Arab Saudi tidak membangunkan program nuklearnya “secara terasing daripada masyarakat antarabangsa”, sebaliknya terus memperkukuh sistem tenaga nuklear nasional dan kawal selia serta bekerjasama secara telus dengan rakan dalam bidang tenaga dan mineral.
“Penyertaan tenaga nuklear dalam campuran tenaga nasional dilaksanakan di bawah rangka kerja kawal selia yang kukuh selaras dengan kewajipan antarabangsa Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata program nuklear Arab Saudi bersifat aman dan jelas serta “bukan jauh di dalam gunung atau kubu”, selain berasaskan ketelusan dan komitmen terhadap piawaian antarabangsa.
Menurut beliau, Arab Saudi bekerjasama secara telus dan akan terus berbuat demikian bersama rakan-rakan serta IAEA.
Putera Abdulaziz juga berkata Arab Saudi mempunyai kekayaan mineral yang luas serta komited untuk menjamin rantaian bekalan mineral, membangunkan penemuan unsur nadir bumi serta mengubah sumber itu kepada nilai ekonomi yang mampan.
Beliau berkata negara itu turut meneruskan penerokaan uranium dan berusaha mengekstrak uranium berkaitan sebagai sebahagian daripada pengeluaran baja.
“Arab Saudi telah menemukan 110 juta tan bahan mentah yang mengandungi kepekatan uranium di wilayah Madinah,” kata beliau.
-- BERNAMA-ANADOLU