KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Malaysia setakat 7 pagi ini didapati berada pada tahap sederhana di kebanyakan kawasan, namun beberapa stesen pemantauan masih merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat susulan episod jerebu yang melanda beberapa negeri.
Berdasarkan bacaan Air Pollutant Index Management System (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa kawasan di Johor, Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sarawak terus mencatat bacaan melebihi 100, yang dikategorikan sebagai tidak sihat.
Antara kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi setakat pagi ini ialah Pasir Gudang (174), Larkin (169), Cheras (167), Shah Alam (166), Nilai (166), Seremban (164), Samarahan (163) dan Kuching (154).
Sementara itu, kebanyakan kawasan lain di utara Semenanjung, Pantai Timur, Sabah dan sebahagian Sarawak mencatat bacaan pada tahap sederhana dengan IPU antara 51 hingga 100.
Menurut APIMS, bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi bahan pencemar dominan, yang digunakan untuk menentukan kategori kualiti udara semasa.
Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan dan jantung, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya berada di kawasan yang mencatat bacaan tidak sihat.
Maklumat terkini status kualiti udara boleh disemak melalui portal rasmi APIMS JAS yang dikemas kini secara berkala.