KUALA TERENGGANU: Pas tidak berhasrat untuk mengundur diri daripada Muafakat Nasional (MN) meskipun berlaku pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sebaliknya parti itu akan terus memperkasakan MN yang menjadi medan besar untuk penyatuan ummah.

Beliau berkata, Pas percaya semua pihak tidak mempunyai niat untuk keluar daripada gagasan tersebut kecuali ia dibubarkan.

"Saya fikir MN ini agenda besar macam saya sebut semalam. Muafakat Nasional ialah penyatuan ummah. Ia bukan parti berdaftar... Ia parti gabungan dan kita harapkan kita balik pada asal bahawa kita terbuka termasuklah NGO dan sebagainya.

"Itu Muafakat Nasional. Tapi dalam konteks pilihan raya, apa berlaku pun, Barisan Nasional akan bertanding atas tiket Barisan Nasional. Dan kita harap bahawa pertemuan, perbincangan dapat diteruskan dari masa ke semasa," katanya.

Beliau ditemui pada pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023 di sini, hari ini.


Politik | Muafakat Nasional berkubur selepas PRN Melaka?

BACA: PRN Melaka: Pas kecewa BN, UMNO tanding semua kerusi - Tuan Ibrahim

Menurut Tuan Ibrahim, semua pihak akan menggunakan pendekatan masing-masing sewaktu PRN Melaka dan berharap ia berjalan dengan lancar.

Semalam, Pas menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan BN dan UMNO yang mengumumkan bertanding di semua kerusi pada PRN Melaka.

Tuan Ibrahim dilapor berkata, usaha penyatuan yang dibuat kelihatan sangat positif pada awal namun gagal pada hujungnya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hubungan dan pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan tidak terjejas akibat pertembungan PN dengan BN dan UMNO di PRN Melaka.

"Dalam konteks kerajaan, kita berjalan macam biasa tiada masalah dan Perdana Menteri telah umum bahawa parti-parti yang turun bertanding dalam PRN Melaka akan bertanding dalam konteks (kapasti) parti (bukan kerajaan)," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, keputusan PRN Melaka nanti amat penting dalam menentukan perancangan dan masa depan Pas bersama PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pas akan memperkasakan kekuatan parti kita bersama-sama dalam PN sebab Pas ini sebagai komponen dalam PN dan saya yakin keputusan PRN Melaka ini juga akan menjadi sebahagian (faktor penting) dalam membuat perancangan masa depan," katanya.