KUALA LUMPUR:Pas menyifatkan langkah yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu sebagai tindakan ‘desperado’.

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan kesemua 18 ahli Parlimen dari parti itu menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengepalai Perikatan Nasional (PN).

“Pas tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Pas mengganggap isu yang dibangkitkan oleh individu yang sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi.

“Ia juga di samping ‘menangguk di air keruh’ ketika Kerajaan PN sedang menguruskan masalah COVID-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara," kata Takiyuddin.

Beliau turut mengungkapkan keyakinan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengendalikan perkara tersebut berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan negara.

"Dalam hal ini Pas sekali lagi amat yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tindakan 'desperados' ini, sebaliknya Baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara yang amat jelas,” kata Takiyuddin.

Tambahnya lagi, Pas berharap kerajaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat selain sektor ekonomi negara terjejas dari tindakan tersebut.


Pas sekali lagi menegaskan semua 18 ahli Parlimen dari parti itu menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengepalai Perikatan Nasional (PN).

Astro AWANI pada Ahad melaporkan meskipun timbul banyak khabar angin berkaitan PN, Barisan Nasional (BN) menegaskan Ahli Parlimen dari parti itu tetap menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata BN dan Muafakat Nasional (MN) sudah memutuskan 10 dasar dan selagi ia tidak diubah, gabungan itu akan terus melaksanakannya walaupun kadangkala berdepan kesukaran.

Menurutnya, antara dasar utama parti itu ialah mengulangi komitmen bahawa BN menyertai PN secara en bloc dan mengekalkan pendirian menolak DAP, Anwar dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.