KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempertimbangkan cadangan agar Datuk Seri Mohamad Hasan menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menerajui UMNO dan memangku tugas Presiden UMNO sehingga Pilihan Raya Umum Ke- 16 (PRU16).

Langkah tersebut, menurut penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub adalah bagi memastikan kestabilan kerajaan sehingga PRU akan datang.

Selain itu, beliau berpandangan Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat perlu menggantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

"Namun, saya melihat Ahmad Zahid tidak semudahnya akan berundur walaupun ada desakan daripada pelbagai pihak.

"Ia melainkan Ahmad Zahid dan Tok Mat sepakat bersama untuk berundur bagi memberi ruang pemulihan kepada UMNO sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil contoh ketika Tok Mat mengetuai Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Tanjung Piai, Mohammad Tawfik menambah pencapaian UMNO-Barisan Nasional (BN) sangat cemerlang sehingga kedua-dua kawasan tersebut dimenangi BN.

Ujar beliau lagi, jika Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk masih kekal sebagai Presiden, Pakatan Harapan (PH) akan turut menerima tempias daripada kesan yang dialami oleh UMNO-BN.

"Apatah lagi negara akan berhadapan dengan PRK Pulai, Simpang Jeram, dan negeri Sabah selepas ini.

"Justeru 'pendarahan politik' yang sedang dialami oleh UMNO perlu dihentikan segera kerana bukan sahaja boleh melemahkan UMNO-BN tetapi akan mewujudkan beban kepada PH," katanya.

Dalam masa sama, pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) itu berkata rakyat sedar apa yang berlaku kepada UMNO-BN ketika ini, terutamanya selepas dua kali parti itu berhadapan dengan detik sukar.

Dalam PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu, BN hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi mereka.

Susulan prestasi buruk itu, beberapa pihak termasuk bekas pemimpin UMNO dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahu parti Melayu itu mengambil langkah untuk menyelamatkan parti termasuk wujud desakan agar Ahmad Zahid mengundurkan diri daripada jawatan Presiden.

Desakan untuk Ahmad Zahid melepaskan jawatan bergema sejak BN kalah teruk pada PRU15.

Begitupun, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) awal tahun ini memutuskan Ahmad Zahid dan Mohamad kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO setelah perwakilan meluluskan usul kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu akan datang.