KUALA LUMPUR: Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail menyarankan UMNO segera mengambil tindakan drastik untuk keluar daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Mohd Yusof, jika parti Melayu itu tidak mengambil langkah berkenaan, UMNO tidak lagi berjaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelas beliau, keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin menunjukkan pengundi Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri tidak mengundi parti itu kerana menolak kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP.

"Berkawan dengan DAP untung seringgit, rugi sejuta.

"Jika keadaan ini berterusan sehingga PRU16, kemungkinan besar UMNO akan menjadi parti kecil yang menang hanya belasan kerusi Parlimen gara-gara mahu terus bersama DAP dalam kerajaan untuk tiga atau empat tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada PRN 12 Ogos lalu membuktikan pengundi khususnya Melayu menolak UMNO kerana bersekongkol dengan DAP.

"Sebagai tanda memahami sentimen pengundi Melayu berhubung kerjasama UMNO dan DAP itu, UMNO perlu bertindak tegas dan segera dengan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan," tambahnya.

Terdahulu, kekalahan teruk BN dalam PRN mengundang pelbagai reaksi daripada pemerhati politik dan ahli UMNO sendiri.

BACA: Keputusan PRN adalah amaran akhir untuk survival UMNO - Tengku Zafrul

BACA: 
PRN: Kekalahan teruk UMNO bukti Melayu tolak DAP - Penganalisis

Ini termasuk daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata, keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu lepas merupakan amaran akhir untuk kelangsungan politik UMNO dan parti itu perlu berubah.

Tengku Zafrul menambah, biarpun Kerajaan Perpaduan diberi mandat menerajui Selangor untuk lima tahun lagi, ia tidak menutup hakikat pedih prestasi BN amat lemah di Selangor selepas hanya memenangi dua daripada 12 kerusi ditandingi, dengan satu daripadanya sebelum ini milik DAP.

Selain itu, penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub sebelum ini menegaskan, UMNO sekali lagi berdepan dengan penolakan orang Melayu dipercayai susulan tindakan parti itu bekerjasama dengan PH terutama DAP dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, UMNO perlu mengkaji semula cara parti itu ditadbir.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menegaskan UMNO harus menilai keupayaan struktur sedia ada untuk menarik pengundi Melayu sebelum PRU16.