IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima permohonan maaf Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berhubung dakwaannya parti itu berebut jawatan Menteri Besar dengan Pas serta mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Bersatu Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata Bersatu dan PN khususnya amat bersyukur dan berlapang dada menerima permohonan maaf berkenaan selain menyifatkan isu berbangkit sudah selesai.

"Saya menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tuduhan teramat berat ke atas parti dan gabungan dalam PN namun terharu apabila beliau telah membuat kenyataan terbuka memohon maaf.

"Sebagai seorang berjiwa besar, beliau sudah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap Bersatu dan PN," katanya kepada Bernama hari ini.

-- BERNAMA