KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai kerangka lengkap untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) menawarkan hala tuju pentadbiran serta pembangunan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata lapan gagasan yang digariskan dalam kerangka berkenaan bukan sekadar slogan politik, malah boleh menjadi asas kepada pembentukan manifesto dan dasar pentadbiran sekiranya UMNO dan BN kembali menerajui Putrajaya.
Beliau berkata Agenda Malaysia Biru memberikan kejelasan mengenai hala tuju negara, khususnya dalam usaha beralih daripada sebuah negara yang hanya menjadi pengguna kepada negara yang mencipta dan memiliki kekayaan.
“UMNO tak pernah mengungkapkan omongan kosong. Apa yang disebut oleh Datuk Seri Ahmad Zahid sebenarnya seakan-akan satu manifesto, satu kerangka yang lengkap.
“Kalau nak digunakan sebagai asas untuk belanjawan pun boleh sebenarnya. Ini menunjukkan bahawa di kalangan pemimpin-pemimpin dalam UMNO, kita tidak bermula dari 'ground zero'.
“Kita sudah berada di tempat yang sudah memiliki pengalaman,” katanya ketika dalam temu bual bersama Astro AWANI selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Reezal berkata antara perkara penting dalam Agenda Malaysia Biru ialah menjadikan Malaysia sebagai 'inventing nation' dan 'skilled nation', bagi memastikan negara bukan sekadar menarik pelaburan asing tetapi turut mempunyai bakat dan kemahiran untuk mencipta kekayaan sendiri.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu menambah, perubahan daripada konsep 'made in Malaysia' kepada 'made by Malaysia' penting bagi memastikan pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi menghasilkan penciptaan kekayaan yang benar-benar dapat dimiliki rakyat.
Beliau menjelaskan negara juga memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat bagi memastikan pembangunan ekonomi tidak hanya diukur melalui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pelaburan langsung asing (FDI), tetapi turut memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat.
“Kita tak mahu FDI bunyi cantik, tetapi hakikatnya ia tidak menghasilkan kepada penciptaan kekayaan. Kita tak mahu KDNK naik, tetapi hakikatnya ia tidak dirasai oleh rakyat dan masyarakat di bawah.
“Kita mahu rakyat mempunyai keupayaan memiliki, mempunyai 'disposable income' dan kesejahteraan,” ujarnya.
Reezal Merican berkata gagasan itu juga perlu disokong oleh kerajaan yang kompeten, berkeupayaan dan berintegriti, selain mampu memperoleh keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.
Dalam Ucapan Dasar Presiden hari ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional menggariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun kemerdekaan negara sekiranya gabungan itu kembali menerajui Putrajaya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata agenda berkenaan bukan sekadar membawa maksud gelombang biru, sebaliknya mencerminkan aspirasi untuk membina Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama, serta Unggul dan Disegani Dunia.