Skip to main content

Politik

PAU 2026: "Bila biru bertemu hijau, pasti warna akan berubah" - Ahmad Zahid

[TB]_PAU 2026, Zahid Hamidi 3_Astro AWANI_Shahir Omar
Ahmad Zahid berkata, kekuatan orang Melayu dan pemartabatan Islam tidak seharusnya menyebabkan kaum serta penganut agama lain berasa terancam, sebaliknya menjadi asas untuk membina keyakinan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertemuan “biru” dan “hijau” disifatkan mampu membentuk kekuatan politik baharu tanpa mengetepikan kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan agama, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kekuatan orang Melayu dan pemartabatan Islam tidak seharusnya menyebabkan kaum serta penganut agama lain berasa terancam, sebaliknya menjadi asas untuk membina keyakinan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk.

Biru merujuk kepada Barisan Nasional (BN), sementara hijau dipercayai merujuk kepada Pas.

“Apatah lagi bila biru (BN) bertemu dengan hijau (Pas), pastinya warna akan berubah.

“Kita mahu orang Melayu kuat tanpa orang lain hidup dalam ketakutan. Saya mahu Islam terus dimartabatkan tanpa agama lain berasa terancam.

“Saya mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi induk kekuatan politik di negara ini, tetapi cukup besar jiwanya untuk kita sama-sama berkongsi kekuasaan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, pendekatan itu selaras dengan konsep kepimpinan yang tidak berasaskan dominasi atau memaksa pihak lain tunduk, sebaliknya membina keyakinan untuk bergerak bersama atas dasar kepercayaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kekuatan BN juga terletak pada kerjasama bersama parti komponennya termasuk MCA, MIC, PBRS, PPP serta Friends of BN yang bukan sekadar memainkan peranan ketika pilihan raya.

“Sebuah formula yang membuktikan bahawa politik Melayu mampu memimpin perkongsian kuasa bersama-sama dengan yang lain-lain,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu turut perlu diperluas dengan merangkul rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak bagi membentuk semula Malaysia yang lebih sejahtera.

“Bak kata rakan-rakan kita di Sabah, ‘Sempuruno po waayan’ (sempurna perjalanan). Rakan-rakan kita di Sarawak, ‘Segulai Sejalai’.

“Kita rangkul rakan-rakan di Semenanjung dengan rakan-rakan di Sarawak dan Sabah untuk kita membentuk semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kekuatan dalaman UMNO perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum parti mampu memimpin dengan berkesan, termasuk menerusi agenda “Rumah Bangsa.”

Beliau berkata, agenda itu menyediakan ruang kepada mereka yang pernah kecewa atau menjauhkan diri daripada UMNO untuk kembali menyumbang kepada perjuangan parti.

Must Watch Video

Advertisement