KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakan dalam kerajaan supaya tidak mengamalkan politik bermuka dua dengan berjanji untuk bekerjasama, tetapi dalam masa sama merancang untuk menjatuhkan rakan sendiri.
Katanya, persefahaman yang dicapai perlu dihormati dan tidak boleh hanya menjadi janji manis ketika berdepan atau dalam mesyuarat, sebelum tindakan berbeza diambil selepas itu.
"Jangan ada khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang, tetapi menjatuhkan rakan pada waktu malam.
"Jangan ada perjanjian ditandatangani, dalam masa sama ia dimungkiri. Kerajaan Perpaduan yang disepakati itu ada dalam perjanjian, entah bagaimana Kerajaan Perpaduan Nasional ditukar menjadi Kerajaan Madani.
"Jika kerbau diikat pada talinya, manusia mesti diikat dengan janjinya. Dalam mesyuarat setuju, keluar mesyuarat buat lain.
"Janganlah menanam tebu di hujung bibir. Insya-Allah, UMNO, BN dan rakan baharu kita berazam untuk tidak melakukan perkara seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan UMNO 2026, di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Tambah Ahmad Zahid, usaha mencari titik temu itu bagaimanapun tidak bermakna mana-mana parti perlu mengorbankan identiti masing-masing.
"Dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO, Barisan Nasional tetap Barisan Nasional," ujarnya.
Beliau berkata, persefahaman politik atau tafahum siyasi perlu berasaskan tiga prinsip utama, iaitu mengutamakan persamaan demi maslahat umum, menghormati perbezaan ideologi serta identiti masing-masing dan mengamalkan toleransi serta sikap anjal dalam membuat keputusan.
Katanya, persefahaman itu tidak seharusnya dibina hanya kerana mempunyai musuh yang sama, sebaliknya perlu bertujuan mewujudkan kestabilan politik, merancakkan ekonomi, menjamin keadilan serta memperkukuh perpaduan rakyat dan antara wilayah.