Skip to main content

Politik

PAU 2026: Hubungan BN-PH tidak 'retak menanti belah' - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Para perwakilan pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf Wajdi berkata UMNO kekal berpegang kepada perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak berada dalam keadaan “retak menanti belah”.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO kekal berpegang kepada perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Beliau menambah selagi tempoh pentadbiran semasa belum berakhir atau Parlimen belum dibubarkan, UMNO akan terus mempertahankan kestabilan politik dan tidak mengambil pendekatan “menebuk atap” bagi mengubah kerajaan hanya dengan menukar Perdana Menteri.

“Dia tidak retak menanti belah. Sebabnya kita masih lagi berpegang kepada perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Selagi mana kita belum sampai tempoh ataupun pilihan raya, selagi mana asasnya kita tidak akan menebuk atap ataupun merubah kerajaan ini dengan perubahan hanya sekadar Perdana Menteri, itu maksud tebuk atap, dan kita memikirkan soal kestabilan politik yang kita pertahankan,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpr (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata pendirian itu menunjukkan UMNO tidak melihat sebarang masalah besar yang boleh menjejaskan kelangsungan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menyerahkan keputusan mengenai masa depan kerajaan kepada rakyat menerusi pilihan raya.

“Yang paling penting, sepertimana saya katakan tadi, Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pun memberi indikasi dan perwakilan pun memberikan indikasi bahawa biarlah rakyat yang membuat keputusan dan mandat itu diserahkan kepada rakyat,” ujarnya.

Mengulas sama ada penggunaan perkataan “guru” dalam ucapan dasar Presiden dan respons sinis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran wujudnya perang saraf atau petunjuk UMNO dan BN tidak akan bekerjasama dengan PH pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Asyraf Wajdi berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Beliau berkata sebarang perundingan berkaitan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya hanya akan bermula selepas pembubaran Parlimen diumumkan.

“Ia masih pramatang kerana perundingan belum pun bermula. Sepertimana yang disebut oleh Presiden, tunggulah bila pembubaran berlaku, barulah perundingan itu akan dimulakan.

“Itu yang berlaku di Johor, itu juga berlaku di Negeri Sembilan. Bila pembubaran diisytiharkan maka perundingan bermula. Perundingan tidak bermula sebelum pembubaran,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mencuri perhatian para perwakilan PAU 2026 apabila berkali-kali menitipkan pesanan kepada individu yang hanya dirujuknya sebagai “guru”.

Tanpa menamakan sesiapa, Timbalan Perdana Menteri itu meminta “guru” berkenaan mendengar suara UMNO, BN dan rakyat.

Sementara itu, Anwar membalas secara berseloroh sindiran berkenaan dengan menggunakan istilah  “guru” dan 'slayyy' dalam hantaran sebaik sahaja selamat tiba di New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18.


 

Must Watch Video

Advertisement