Skip to main content

Politik

PAU 2026: 'Kita tak pernah hasrat tebuk atap' - Zahid Hamidi

[TB]_PAU 2026, Zahid Hamidi 1_Astro AWANI_Shahir Omar
Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN kini perlu merapatkan saf, memulihkan keyakinan serta menyusun langkah bagi membina semula kekuatan parti - Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah berhasrat untuk melakukan gerakan “tebuk atap” bagi menjatuhkan kerajaan, sebaliknya mahu menumpukan usaha memperkukuh parti dan merancang kebangkitan untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat kini semakin penat dengan “peperangan politik” yang tidak berkesudahan selepas pilihan raya, termasuk polemik mengenai pihak yang mahu dijatuhkan dan gerakan “tebuk atap”.

“Apa yang rakyat dengar sehari-hari? Siapa yang mahu dijatuhkan? Siapa yang mahu ‘tebuk atap’? Kita tidak pernah berhasrat untuk ‘tebuk atap’.

"Kalau mereka mahu begitu, ada cara lain kita mahu melakukan tindakan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO perlu keluar daripada kitaran politik yang hanya berorientasikan satu penggal pilihan raya, sebaliknya kembali kepada wataknya sebagai parti yang merancang pembangunan negara untuk tempoh melangkaui satu generasi.

Katanya pengalaman lapan tahun kebelakangan ini yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berubah daripada sebuah kerajaan dominan kepada pembangkang dan kemudiannya berkongsi kuasa, mengajar parti supaya sentiasa menyesuaikan pendekatan dengan perubahan realiti politik.

“Kita bermula dari sebuah pengkhianatan. Kita menyaksikan kawan menjadi lawan, lawan menjadi rakan. Kerajaan dan politik berubah-ubah rencamnya.

“Semua ini mengajar satu perkara: UMNO tidak boleh membeku pada suatu pendekatan ketika realiti di sekelilingnya berubah begitu pantas,” ujar Pengerusi PN itu lagi.

Ahmad Zahid menambah, UMNO dan BN kini perlu merapatkan saf, memulihkan keyakinan serta menyusun langkah bagi membina semula kekuatan parti.

“Kita memasakkan semula erti perjuangan, kita rapatkan saf dan kita memulihkan keyakinan. Kita atur langkah menyusun kebangkitan semula.

“Kini masanya untuk kita mencipta semula kemenangan, insya-Allah. Di hujung terowong ada cahaya terang sedang menanti kita, menanti UMNO dan BN dan rakan-rakan yang lain,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, parti juga perlu melakukan persediaan secukupnya dengan memahami tuntutan zaman, bukannya sekadar bergantung kepada sokongan atau slogan bagi menghadapi pilihan raya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata UMNO juga tidak seharusnya hanya memikirkan kemenangan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Sebaliknya, kata beliau parti Melayu itu perlu mempunyai perancangan jangka panjang demi menentukan bentuk negara yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement