Skip to main content

Politik

PAU 2026: Kolaborasi Agung boleh diterjemah di Terengganu melalui penyatuan UMNO-Pas - Tengku Haphiz

Tengku Haphiz Tengku Putera, PAU 2026 -- astro AWANI
Tengku Haphiz berpandangan Kolaborasi Agung perlu diterjemahkan sebagai usaha menyatukan keseluruhan masyarakat Melayu Islam, termasuk di Terengganu, bagi mewujudkan kestabilan politik yang seterusnya dapat menyumbang kepada kemakmuran negeri. - Foto/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gagasan Kolaborasi Agung yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh diterjemahkan di Terengganu melalui usaha memperkukuh persefahaman dan penyatuan antara UMNO dan Pas.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berpandangan pendekatan itu selaras dengan konsep persaudaraan dalam Islam dan berpotensi mewujudkan kestabilan, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran negeri, khususnya dalam memberi manfaat kepada golongan muda.

Tengku Haphiz menambah Pemuda UMNO Terengganu menyambut baik gagasan penyatuan ummah dan melihat keadaan politik semasa di negeri itu sebagai ruang untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan UMNO dan Pas

"Dan kita di Terengganu, kita boleh ibaratkan kita sebagai Muhajirin dan Pas sekarang ini menguasai seluruh kerusi di Terengganu boleh kita ibaratkan sebagai Ansar.

"Kerana dalam perjuangan kita sebagai seorang Muslim, Allah SWT sebut 'Innamal mu'minuna ikhwah', sesungguhnya mukmin itu bersaudara," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Katanya, Kolaborasi Agung juga tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mengutamakan satu kaum semata-mata, sebaliknya pengukuhan Melayu dan umat Islam akan memayungi seluruh masyarakat Malaysia.

"Apabila Melayu itu dikukuhkan, ia akan memayungi seluruh bangsa Malaysia tidak kiralah Cina, India dan lain-lain kerana itulah pasak dan juga formula yang kita ketengahkan sejak berdekad-dekad.

"Sepanjang UMNO dan Barisan Nasional menerajui negara, ia telah menunjukkan bahawa sebenarnya Melayu apabila ia dikuatkan, ia turut menguatkan bangsa-bangsa lain. Itulah konsep Kolaborasi Agung," ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata konsep persaudaraan yang diketengahkan Ahmad Zahid itu memberi ruang kepada UMNO dan Pas untuk mencari titik persefahaman demi kepentingan masyarakat Melayu Islam di Terengganu.

Tengku Haphiz menambah kestabilan politik yang dapat dibentuk menerusi penyatuan berkenaan perlu diterjemahkan kepada agenda yang memberi kesan langsung kepada rakyat, terutama golongan muda.

Jelasnya, antara sasaran yang akan diperjuangkan Pemuda UMNO Terengganu termasuk menyediakan 25,000 peluang pekerjaan, meningkatkan kualiti pendidikan serta menyediakan kemudahan perumahan yang lebih baik untuk golongan muda.

Mengenai Agenda Malaysia Biru pula, Tengku Haphiz berkata konsep itu menjangkau masa depan UMNO dan mampu memberikan input baharu kepada kelangsungan parti.

Beliau berpandangan, Agenda Malaysia Biru turut menawarkan hala tuju baharu kepada negara sebagai kesinambungan kepada gagasan pembangunan terdahulu dan sekiranya formula yang diketengahkan dapat direalisasikan, ia berpotensi membentuk sebuah negara yang lebih makmur.

Dalam pada itu, Tengku Haphiz berkata Pemuda UMNO Terengganu berpandangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) wajar disegerakan susulan dakwaan kestabilan dan kebersamaan dalam kerajaan semasa semakin rapuh sehingga dikhuatiri menjejaskan kepentingan rakyat.

Tegasnya, jentera Pemuda UMNO Terengganu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya tersebut, sekiranya ia diadakan lebih awal.

"Saya yakin dalam soal ini rakyat boleh menilai dengan baik dan sekiranya Perdana Menteri mengilhamkan untuk membubarkan Parlimen, saya fikir inilah waktu yang sangat terbaik kerana kestabilan di dalam kerajaan itu sudah dilihat tidak ada kebersamaan yang kuat dan ia semakin rapuh.

"Kalau gajah bergaduh sesama gajah, pelanduk yang mati di tengah. Jadi, Pemuda UMNO Terengganu mengambil pendirian bahawa ini tidak boleh diteruskan lagi," katanya.

Must Watch Video

Advertisement