KUALA LUMPUR: Sokongan pengundi bukan Melayu kepada Barisan Nasional (BN) meningkat ketara khususnya sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan 2026, khususnya dalam kalangan pengundi Cina dan India.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peningkatan itu mencerminkan keyakinan rakyat yang kembali terhadap perjuangan UMNO dan BN.
Beliau memberitahu, sokongan pengundi Cina kepada BN di Johor meningkat daripada 9.5 peratus pada 2022 kepada 20 peratus pada PRN 2026, manakala di Negeri Sembilan meningkat daripada 8.7 peratus kepada 14 peratus.
Katanya, sokongan pengundi India turut meningkat dengan ketara apabila di Johor melonjak daripada 18.9 peratus pada 2022 kepada 54.8 peratus tahun ini, manakala di Negeri Sembilan meningkat daripada 17.6 peratus kepada 49.6 peratus.
"Dalam kedua-dua PRN tahun ini, BN memperoleh undi (kaum) India tertinggi berbanding parti-parti lain," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Asyraf Wajdi berkata, sokongan pengundi Melayu turut menunjukkan peningkatan apabila di Negeri Sembilan meningkat daripada 45.8 peratus pada 2022 kepada 79 peratus tahun ini, manakala di Johor meningkat daripada 44.9 peratus kepada 82.4 peratus.
Katanya, peningkatan itu turut disumbangkan kemenangan BN di semua 14 saluran kem tentera di Johor dengan 82.1 peratus undi, selain semua lapan saluran di Negeri Sembilan dengan 92.47 peratus undi hasil kerjasama dengan Pas.
Beliau berkata, BN turut menang di semua pusat daerah mengundi (PDM) FELDA di kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, sokongan golongan muda Melayu turut menunjukkan perkembangan positif apabila BN menang di semua saluran anak muda Melayu di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, sebanyak 78 peratus anak muda di Johor memilih BN, manakala sokongan sama di Negeri Sembilan mencapai 79 peratus.