Skip to main content

Politik

PAU 2026: UMNO garis lapan ikhtiar Agenda Malaysia Biru

KUALA LUMPUR, 11 Sept - Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid berkata, Agenda Malaysia Biru dirangka bagi membentuk Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, selain memastikan rakyat makmur dan saksama serta negara unggul dan disegani dunia. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO menggariskan Agenda Malaysia Biru yang mengandungi lapan ikhtiar utama sebagai hala tuju parti untuk membentuk Malaysia menjelang 100 tahun kemerdekaan negara.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata agenda berkenaan dirangka bagi membentuk Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, selain memastikan rakyat makmur dan saksama serta negara unggul dan disegani dunia.

Beliau berkata, antara sasaran utama agenda itu ialah menjadikan Malaysia sebagai Negara Pencipta, dengan menggalakkan teknologi dan jenama ciptaan anak tempatan sehingga mampu bersaing di peringkat global.

Katanya, Malaysia perlu beralih daripada konsep Made in Malaysia kepada Made by Malaysia, dengan sasaran melahirkan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia yang dicipta, direka bentuk dan dimiliki rakyat tempatan.

"Ikhtiar kedua ialah menjadikan Malaysia Negara Berkemahiran dengan mengarusperdanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menyasarkan 80 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperoleh gaji premium," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, ikhtiar ketiga pula memberi tumpuan kepada pembentukan Malaysia Negara Pemilik, dengan sasaran 60 peratus rakyat dewasa memiliki sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai, sama ada rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan atau aset produktif.

Beliau berkata, UMNO turut mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Sejahtera dengan menetapkan sasaran setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas untuk tujuan simpanan, pelaburan dan menikmati kehidupan.

Bagi ikhtiar kelima, katanya, Malaysia perlu menjadi Negara Berdaya Tahan dalam menghadapi pelbagai krisis termasuk pandemik, perang, perubahan iklim dan ancaman siber.

"Malaysia mesti mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian terhadap keperluan strategik merangkumi keterjaminan makanan, bekalan perubatan, hubungan telekomunikasi, sumber tenaga dan air, pertahanan serta industri strategik," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, ikhtiar keenam ialah menjadikan Malaysia sebagai Negara Peduli yang memberi tumpuan kepada keperluan penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit jangka panjang.

Katanya, golongan penjaga juga perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada struktur ekonomi negara dan tidak dilihat hanya dari sudut kebajikan.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu menjadi Negara Beramanah dengan memperkukuh integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.

"Ikhtiar ini mensasarkan Malaysia berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.

"Kita mahu rule of law, bukan rule by law. Good governance bukan sekadar teriakan dalam manifesto, sebaliknya kepercayaan bahawa kuasa digunakan untuk amanah dan bukan ruang melakukan penindasan," katanya.

Bagi ikhtiar terakhir, Ahmad Zahid berkata, UMNO mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Berdaulat menerusi hubungan luar yang luas, namun setiap hubungan strategik perlu mengutamakan kepentingan nasional.

Beliau berkata, matlamat utama ikhtiar itu ialah menjadikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia, dengan setiap perjanjian strategik utama terus mempertahankan kepentingan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, Agenda Malaysia Biru turut merangkumi penyusunan semula keutamaan negara termasuk penstrukturan percukaian, termasuk GST pada kadar munasabah, penyelarasan jaminan sosial rakyat dan usaha memudahkan urusan perniagaan.

Katanya, pembangunan ekonomi wilayah juga akan diperkasa berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selain memperbaharui perjanjian dengan penjawat awam serta melindungi kebajikan guru.

"Pada masa sama, kita mahu mengarusperdanakan muamalah Islam dan memastikan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dilaksanakan sebagai agenda seluruh kerajaan," katanya.

Must Watch Video

Advertisement