KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka membacakan Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia ketika ucapan penggulungan Presiden, pada Sabtu.
Ketika membacakan dokumen itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menjelaskan takrifan dan tafsiran terma yang digunakan dalam perjanjian berkenaan.
"Saya hendak tunjukkan perjanjian persefahaman kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia. Mana ada sebut kerajaan (Madani), ini ada?
"Definisi dan tafsiran, melainkan keadaan dan konteksnya memerlukan sebaliknya, terma-terma berikut atau ekspresi-ekspresi yang digunakan dalam Perjanjian ini hendaklah mempunyai maksud seperti berikut: Perjanjian persefahaman kerjasama hendaklah bermaksud perjanjian ini dan apa-apa perjanjian tambahan yang dibuat selepas ini berkaitan dengan pembentukan dan operasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
"Eh, 'ceplos', tengoklah ini dulu," katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Meskipun beliau tidak menyebut secara jelas nama mana-mana individu, kandungannya dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perhimpunan ini diikuti bukan sahaja oleh ahli-ahli UMNO, sama ada di dalam mahu pun di luar dewan, malah orang luar pun minat.
"Sebenci mana mereka pada UMNO, mereka tetap hendak tahu apa yang berlaku di Perhimpunan Agung UMNO, malah ada yang ada di India sekarang pun...," katanya lagi.
Anwar mengadakan lawatan kerja lima ke India dari 11 hingga 15 September ini yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan antara rakan dagang utama negara, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan akses ke pasaran baharu.