Prinsip wala' yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diperjelaskan supaya tiada pihak tersalah tafsir istilahnya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ia bukan konsep kesetiaan membuta tuli kepada presiden dan pimpinan parti.

"Di luar sana ada suara anak muda yang tertanya-tanya soalan tentang konsep wala', ada yang bersangka buruk mengatakan bahawa wal'a ini adalah kesetiaan membuta tuli.

"Sudah pasti apabila bercakap soal wala', kita bercakap mengenai kesetiaan dalam agama. Mungkin ada yang kurang memahami konsep wala yang diberi kepada kepimpinan UMNO, ia bukan satu ketaatan kesetiaan membuta tuli," katanya semasa ucapan penggulungan Ketua Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada ucapan dasar presiden, Datuk Seri Najib memberitahu, wala' membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai'ah, yang wajib diberikan kepada seseorang khalifah, pemimpin yang sah, atau dalam konteks UMNO, kepada presidennya.

Dalam pada itu kata Khairy, Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan misi sangat penting yang akan mendengar suara rakyat.

Ujarnya, ia berbeza berbanding cetusan Wawasan 2020 oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diumum tanpa perbincangan bersama akar umbi.

Tegasnya, Pemuda UMNO bersedia menggalas tugas dan memikul amanah dalam menggerakkan wacana TN50 fasa awal dalam kalangan orang muda.

Ujarnya, meskipun tanggungjawab itu merupakan tugas berat yang diberikan Najib, ia akan dilaksanakan sebaiknya.