KUALA LUMPUR : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kengganan untuk membubarkan UMNO dan menyertai Bersatu merupakan punca beliau dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan beberapa tuduhan mahkamah.

“Kenapa saya dan dia (Najib Razak) menghadapi pertuduhan?

“Ketika itu Perdana Menteri selama 22 bulan itu ada bertemu saya dan mengajak saya supaya jadi ‘katak’ (sertai Bersatu) dan supaya saya bubarkan UMNO.

“Oleh kerana selepas tempoh 10 hari saya tak bubarkan UMNO maka saya diseret ke mahkamah... tetapi tidak mengapa, demi UMNO dan demi perjuangan kita,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berpendapat, parti itu masih beruntung kerana mempunyai Perdana Menteri dalam kalangan parti itu.

Ujarnya, langkah itu membuatkan banyak usul yang dibawa parti itu mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

“Bayangkan kalau bukan UMNO yang jadi Perdana Menteri, banyak perkara yang sepatutnya mendapat kelulusan kerajaan tidak akan mereka (pembangkang) lakukan.

“Kita beruntung kerana ada Perdana Menteri yang wakil dari UMNO,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Zahid menyatakan kedudukannya sememangnya mendapat sokongan daripada kesemua ahli UMNO.

Bahkan, pihak akar umbi sebelum ini juga telah mencadangkan hanya satu nama untuk dijadikan sebagai calon Perdana Menteri.

Menerusi ucapan itu, Ahmad Zahid turut menggesa kesemua ahlinya bersiap sedia dengan pemikiran di luar kotak berikutan situasi politik yang luar biasa.