KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO menafikan dakwaan wujud pengundi hantu yang dibawa masuk untuk meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan jahat dan fitnah, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah meminta Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin untuk mengarahkan keluar sekiranya terdapat bukan ahli perwakilan di dalam dewan.

"Diyakini 100 peratus tidak benar tuduhan liar itu. Kad yang tertera gambar perwakilan adalah dipakai sepanjang persidangan dan jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali malah pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan.

"Mengenai satu video yang tular, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan itu adalah pegawai-pegawai Skuad Sabil dalam kalangan Ketua Pemuda yang diamanahkan untuk mengurus dan menjaga keharmonian dalam dewan dan luar Dewan Merdeka.

"Lokasi video itu ialah di Bilik Terengganu iaitu bilik yang dikhususkan kepada Sekretariat Skuad Sabil," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Pada Sabtu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa wujud komplot 'Langkah Dewan Merdeka' untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, 'tag' (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk 'perwakilan import' bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.