KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengesahkan Pejabat Setiausaha Agungnya menerima maklum hasrat Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyertai parti itu.

Naib Presiden PBM Muhammad Saiful Bahari Sahari berkata permohonan itu dibuat melalui panggilan daripada pejabat Zuraida tetapi Zuraida belum dapat menyerahkan borang keahlian kerana masih berada di luar negara atas urusan rasmi.

"Sekarang ini, beliau (Zuraida) masih berada di Turki kemudian akan ke Greece. Beliau dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun, jadi insya-Allah antara 2 dan 3 Jun itu, beliau akan menghantar borang untuk mengesahkan penyertaannya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Hari ini, Zuraida menerusi kenyataan memaklumkan keputusan untuk menyertai PBM setelah membuat pertimbangan yang mendalam serta kerana mempercayai perjuangan parti berkenaan yang menekankan enam prinsip teras iaitu keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita, pemerkasaan anak muda, pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi.

Ini adalah kali kedua Zuraida menyertai parti politik berbeza setelah dipecat daripada PKR dan kemudiannya menyertai Bersatu.

BACA: PBM Kelantan sambut baik tindakan Zuraida

BACA: Zuraida Kamaruddin letak jawatan menteri, umum tinggalkan Bersatu sertai PBM

Muhammad Saiful Bahari berkata pihaknya yakin penyertaan Zuraida akan memperkuat kedudukan parti, mengambil kira beliau adalah nama besar dalam arena politik, mempunyai ramai pengikut dan aktif dalam usaha memperkasakan wanita.

"Di peringkat parti, sambutan terhadap beliau ternyata baik kerana sebaik sahaja perkhabaran mengenai beliau masuk dalam parti disebarkan dalam aplikasi WhatsApp pagi tadi, semua terbuka dan berbesar hati menerimanya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataan memberitahu permohonan Zuraida menyertai parti berkenaan akan dibincangkan bersama Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi sebelum keputusannya diumumkan kelak.

"Bagi pihak PBM, kami amat berbangga dan teruja dengan perkara ini memandangkan beliau merupakan seorang Ahli Parlimen yang berdedikasi, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sebagai pemimpin yang dekat kepada rakyat di akar umbi.

"Perkara ini mengukuhkan lagi keyakinan kami bahawa enam teras perjuangan yang dibawa oleh PBM yang berbilang kaum ini terus mendapat sambutan dari pelbagai peringkat rakyat di negara ini dan menambah semangat kami dalam membina momentum untuk terus bekerja keras demi Bangsa Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar melihat serius isu melompat parti susulan tindakan Zuraida dan berharap kerajaan tidak lagi berkompromi terhadap mana-mana individu.

"Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang antilompat parti.

"Ramai lagi Ahli Parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida," katanya menerusi kenyataan di Facebok rasmi beliau hari ini.

Di KUALA TERENGGANU, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata tindakan Zuraida tidak akan menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata kekuatan sebenar PN mahupun parti PAS itu sendiri terbentuk daripada sokongan rakyat dan bukannya terletak pada pemimpin secara individu.

"Malaysia negara demokrasi... (Zuraida) boleh ikut mana-mana parti, beliau (Zuraida) keluar takkan jejas PN. Pas bergantung pada rakyat, sementara pemimpin boleh datang dan pergi," katanya kepada pemberita pada Jamuan Hari Raya Pas Terengganu di sini hari ini.

Zuraida hari ini mengumumkan keputusannya menyertai PBM dan dilaporkan akan berjumpa dengan Ismail Sabri untuk membincangkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

-- BERNAMA