Skip to main content

Politik

Pejabat KM Melaka nafi dakwaan TYT, Rauf tandatangani dokumen bubar DUN

Rauf Yusuh
Tun Mohd Ali bersama Ab Rauf hadir pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di MiTC.
Advertisement

MELAKA: Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan tular kononnya Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, telah menandatangani dokumen pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Ketua Komunikasi Media Ketua Menteri, NorHafizah Mohd Sati memaklumkan pihaknya tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan seperti yang didakwa dalam mesej yang tular.

Menurutnya, sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkara berkenaan akan dimaklumkan segera oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka.

“Segala yang tular tidak sahih sama sekali dan mohon sahabat-sahabat media tidak mempercayai sebarang info yang tular tanpa pengesahan pejabat ketua menteri melaka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, satu mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan kononnya dua pemimpin tertinggi negeri itu telah menandatangani dokumen pembubaran DUN.

Proses itu dikatakan berlangsung pada pukul 10.30 pagi Selasa di bilik tamu pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Terdahulu pada pagi Selasa, Tun Mohd Ali bersama Ab Rauf juga hadir pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di MiTC.

Perkembangan mengenai pembubaran DUN Melaka menjadi perhatian selepas Ab Rauf sebelum ini memberi bayangan bahawa perkara itu bakal berlaku dalam tempoh terdekat.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh ditetapkan selepas pembubaran, dengan penggal semasa dijadual berakhir pada Disember ini.

Must Watch Video

Advertisement