KUALA LUMPUR:Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) termasuk pertubuhan itu sendiri.

Menurut, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, tindakan itu diambil menerusi peguam mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

"Melalui semakan kehakiman itu juga, Pejuang memohon satu perintah deklarasi bahawa kegagalan Ketua Pengarah dan JPPM untuk menjawab sebarang permohonan mahupun komunikasi secara bertulis adalah tidak munasabah dan mempunyai niat mala fide untuk sengaja melengah-lengahkan proses permohonan pendaftaran Pejuang.

"Pejuang sentiasa mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan justeru itu membawa isu kelengahan pendaftarannya ke mahkamah bertujuan mendapat penghakiman yang seadilnya," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Difahamkan, tindakan sedemikian adalah sebagai pencerahan berhubung status pendaftaran parti Pejuang sama ada diluluskan atau sebaliknya sebagai parti politik yang berdaftar melalui Akta Pertubuhan 1966.

Sebelum ini, Pejuang telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada JPPM yang bertarikh 19 Ogos bagi proses pendaftaran tersebut.

Terdahulu, Pejuang pada 19 Ogos lalu telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada JPPM untuk mendaftarkan parti itu.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan parti berkenaan akan membawa perkembangan kes tersebut kepada umum dari masa ke masa.