KUCHING: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar bakal memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kenyataan menerusi setiausaha agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia disifatkan tepat pada masanya ketika negara sedang berusaha menangani pandemik COVID-19.

“Sesungguhnya pelantikan kedua-dua mereka amat tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang agak panas ketika ini.

“Ia juga diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara ketika kita semua sedang bergelut dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya, permainan politik mampu menggugat kestabilan negara ketika ini, malah rakyat sedang memerhatikan perkembangan berkenaan.

Justeru, pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing itu amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka.

Beliau berkata, kepimpinan GPS menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan itu.

Dalam pada itu, Alexander turut meminta Hishammuddin memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak terutama pencerobohan sempadan oleh China.

"Mengambil kesempatan ini, saya turut ingin meminta bantuan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak.

"Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu, selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini," tambahnya dalam kenyataan sama.

Terdahulu Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya hari ini mengumumkan pelantikan dua pemimpin kanan Barisan Nasional itu tersebut berkuat kuasa serta-merta.