Tun Dr Mahathir pada Isnin mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, selain mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Parti Bersatu Pribumi (BERSATU).

Surat peletakan jawatan beliau telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekitar jam 1.20 tengah hari Isnin.

Ini kemuncak kepada kemelut politik yang sudah bermula sejak Ahad. Spekulasi mula menular terutamanya apabila berita berhubung mesyuarat lima parti termasuk PKR, UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan BERSATU berlangsung di ibu negara pada Ahad.

Namun, peletakan jawatan secara mengejut berkenaan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik di negara ini.

Berikutan beberapa perkara yang anda perlu tahu setakat ini:

25 Januari

6.30 petang:
Gabungan blok pembangkang memaklumkan sebulat suara agar Parlimen dibubarkan dan menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menyelesaikan kemelut politik yang masih belum menunjukkan tanda reda.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Muafakat Nasional telah menyerahkan syor tersebut ketika mengadakan pertemuan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

"Biarlah rakyat menentukan. Sebarang penyelesaiaan di luar cara-cara yang diamalkan oleh negara kita mengundang kepada ketidakstabilan, sebarang idea dan cara-cara baru walaupun nampak sebaik mana sekali pun adalah menggadai masa depan rakyat," demikian kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media, pada Selasa.



Annuar dalam pada itu menyifatkan Dr Mahathir sebagai "gagal" dalam mentadbir PH sehingga menyebabkan parti komponen PH berpecah.

"Kalau empat parti pun tak dapat nak dipimpin, pemimpin orang sama (Dr Mahathir), dia pimpin empat parti runtuh, you nak pimpin 10 atau 12 parti, lagi cepat runtuh.

"Kami Muafakat Nasional, BN tidak mahu rakyat tertipu untuk kali kedua dengan memberi janji palsu, dan kemudian tidak "performance"," ujarnya.

6.15 petang: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meninggalkan Istana Negara selepas hadir menghadap Yang Di-Pertuan Agong.


4.00 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara yang terawal yang meninggalkan Istana Negara.

3.00 petang: Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di Istana Negara untuk mengadakan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah.

Ia dipercayai berkaitan dengan sesi temubual secara peribadi bersama baginda bagi memaklumkan mengenai calon Perdana Menteri baharu.


2.00 petang: Gabungan Parti Sarawak menyatakan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Majlis Tertinggi dan semua ahli GPS telah sebulat suara untuk memberikan sokongan kepada Dr Mahathir.

1.30 tengah hari: Al Sultan Abdullah bertitah akan mencari penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku dalam negara ketika ini.

"Biarkan saya menjalankan tugas. Saya harap kita akan mencari penyelesaian yang terbaik buat negara," titah baginda selepas berkenan memberikan sumbangan makanan kepada media di pintu masuk Istana Negara.



12.30 tengah hari: Kesemua Ahli Parlimen kecuali Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bermula hari ini dan Rabu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, kesemua Ahli Parlimen akan dibahagikan kepada dua sesi temubual dengan Yang di-Pertuan Agong.


11.15 pagi: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninggalkan Istana Kayangan sebaik sahaja selesai menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam pada itu, Amirudin dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Selangor telah berkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi seperti biasa.

10.00 pagi: Beberapa pemimpin kanan parti politik dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra sejak pagi, difahamkan untuk mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

9.30 pagi: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dilihat memasuki Perdana Putra, Putrajaya pada pukul 9.29 pagi bagi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Interim.


24 Januari


9.24 malam: Semua jawatan menteri Kabinet, timbalan menteri dan setiausaha politik dihentikan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu tertakluk dalam peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran, merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, adalah terhenti pada tarikh yang sama," ujar Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan.


8.20 malam: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyatakan bahawa pihaknya belum berhasrat menyertai Barisan Nasional (BN) atau gabungan parti politik lain setakat ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

8.00 malam: Bersatu mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu malam Isnin. Beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu termasuk Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Zahid Md Arip dilaporkan tiba bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, pegawai kanan Dr Mahathir mengesahkan bekas Perdana Menteri itu tidak akan menghadiri mesyuarat pada malam tersebut.


7.18 malam: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan memaklumkan baginda turut berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan baharu.

"Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dan kabinet dibentuk," demikian katanya, sebentar tadi.

6:40 petang: Dr Mahathir tiba di kediaman peribadinya dari Istana Negara.


5.40 petang: Parti Warisan Sabah turut menzahirkan sokongan buat Dr Mahathir untuk terus kekal berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Presidennnya Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan pada Isnin berkata kepemimpinan parti itu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Sabah.

Anwar rayu Dr Mahathir tidak lepas jawatan

5.30 petang: Anwar memaklumkan telah merayu kepada Dr Mahathir supaya tidak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian sebaik meninggalkan Istana Negara, pada Isnin.

5.15 petang: Bank Negara pantau pergerakan ringgit

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pihaknya sedang memantau pergerakan ringgit dalam pasaran susulan perkembangan terbaru dalam landskap politik negara.

“Memandangkan perkembangan baru-baru ini yang sedang berlaku, kami sedang memantau keadaan pasaran kewangan.

“Pergerakan ringgit akan terus ditentukan pasaran, operasi pasaran BNM akan memastikan kecairan yang mencukupi dan keadaan pasaran kewangan yang teratur," demikian BNM dalam satu kenyataan, pada Isnin.


Agong belanja media makan KFC!

5.00 petang: Kepenatan pengamal media terubat selepas Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi berkenan menjamu wartawan dan jurukamera yang bertugas di hadapan Istana Negara dengan ayam goreng KFC.


4.45 petang: Dr Mahathir dilaporkan tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

DAP syor Dr Mahathir kekal Perdana Menteri

4.40 petang: DAP memaklumkan akan mengesyorkan agar Dr Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri, demikian kata Lim Guan Eng.

Syor berkenaan akan dicadangkan dalam mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH yang dijangka diadakan malam Isnin.


DAP kutuk perbuatan khianat

4.30 petang: DAP dalam sidang media pada petang Isnin mengutuk perbuatan khianat beberapa pemimpin parti yang cuba untuk mewujudkan kerajaan baharu melalui pintu belakang.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng, parti baharu yang dicadangkan bagi menggantikan PH dikenali sebagai Perikatan Nasional - gabungan parti UMNO, MCA, MIC, Bersatu dan segelintir pemimpin yang dipecat dari PKR.


"Manipulasi politik ini telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup, bukan sahaja rakyat biasa, tetapi juga perniagaan," demikian katanya.


Dalam pada itu, Guan Eng mendakwa keputusan Dr Mahathir untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana bekas Pengerusi Bersatu itu tidak sanggup untuk bekerjasama dengan UMNO.

Perkara itu dakwa Guan Eng telah dimaklumkan oleh Dr Mahathir ketika beliau membuat pertemuan di rumahnya, pagi Isnin.

"Tun Dr M (Mahathir) telah menyatakan dengan jelas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO apabila secara bertungkus-lumus menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum pada 2018," katanya.

Bersatu adakan mesyuarat tergempar

4.15 petang: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu malam Isnin.

Dr Mahathir menghadap Agong

4.00 petang: Dr Mahathir dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 5 petang.

Pertemuan ini dipercayai akan berlangsung selepas Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan berhubung peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Anwar menghadap Agong

3.30 petang: Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 40 minit.

Sebelum itu, beliau dilaporkan tiba di Istana Negara sekitar pukul 2.30 petang.


Sidang media PKR

3 petang: Dalam pada itu, barisan pimpinan tertinggi PKR turut dijangka akan mengadakan sidang pada petang ini bagi menjelaskan keadaan terkini parti komponen PH itu.

Setakat ini, difahamkan PH terbubar selepas BERSATU mengumumkan keluar PH.

Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dipecat

2.30 petang: Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR memutuskan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin dipecat sebagai anggota Keadilan berkuatkuasa serta-merta, menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Tun Dr Mahathir letak jawatan

1.20 tengah hari: Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan baru menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Peletakan jawatan ini dipercayai berkaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sejak mesyuarat Majlis Presiden Jumaat lalu.

Bersatu keluar PH

1 tengah hari: Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam mesyuarat khas yang diadakan pada 23 Februari 2020 telah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan.