KUALA LIPIS: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Pahang masih lagi di peringkat perbincangan antara kerajaan negeri dan pembangkang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata perbincangan bagi mencapai persetujuan sebelum pembentangan undang-undang itu perlu memandangkan kerajaan negeri tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita masih di peringkat perbincangan kerana kita perlukan dua pertiga (untuk meluluskan undang-undang tersebut) dan oleh kerana kerajaan Pahang sekarang tiada jumlah itu, kita kena adakan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Pahang 2023 di sini hari ini.

Persidangan DUN Pahang seterusnya dijadualkan bermula 20 Nov depan.

Kompisisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan PN masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH). Kerajaan negeri ditubuhkan dengan kerjasama BN dan PH.

Pada 12 April lalu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pembentangan undang-undang anti lompat parti dijadualkan akan dibentangkan pada persidangan DUN Mei lalu.

Ia selepas semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang memberikan persetujuan kepada pembentangan undang-undang itu pada pembentangan taklimat Perlembagaan (Pindaan) No. 3 Akta 2022 (Akta A1663) (Anti-Lompat Parti) daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang.

Bagaimanapun, pada 1 Mei llalu Wan Rosdy berkata pembentangan undang-undang itu ditangguhkan selepas pembangkang meminta lanjutan masa untuk mengkajinya dan kerajaan negeri tiada halangan dan sedia mendengar cadangan yang hendak dikemukakan pembangkang.

-- BERNAMA