POLITICS
Pemergian Masing: Saya tidak gila kuasa sandang kerusi Presiden PRS - Salang

Jelasnya, beliau perlu terus menggalas tanggungjawab untuk memastikan kepimpinan dalam parti terus terjaga. - Foto Astro AWANI
KUCHING: ‘’Saya tidak gila kuasa untuk menduduki kerusi presiden’’.
Itu tegas Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum ketika membidas dakwaan bahawa beliau mahu mengetuai parti itu selepas kehilangan presidennya, mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia pada 31 Oktober lalu.
“Kami perlu mengadakan sidang media tergempar ini bagi memastikan semua jelas mengenai perkara ini.
“Kerusi presiden masih kosong, kerana presiden kami sudah meninggal, bukannya saya hendak menduduki jawatan itu.
“Saya adalah Timbalan Presiden, benar saya bukan pemangku presiden.. saya adalah Timbalan Presiden yang diberi kuasa menerusi perlembagaan parti dan disokong oleh ahli majlis tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Jalan Ong Tiang Swee di sini hari ini.
Salang berkata demikian sebagai reaksi kepada khabar angin serta laporan disebarkan di media sosial mengenai status jawatannya dalam PRS.
Jelasnya, beliau perlu terus menggalas tanggungjawab untuk memastikan kepimpinan dalam parti terus terjaga.
“Kami kekal bersatu di dalam parti, ia bukannya saya mahu mengetuai parti seperti yang menjadi spekulasi di media sosial,” ujarnya.
Mengulas mengenai mesyuarat tergempar yang diadakan pada hari mendiang Masing meninggal dunia, Salang menjelaskan terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan termasuk membantu keluarga mendiang berdepan dengan saat sukar ketika ini.
“Kami tidak berniat untuk tidak menghormati keluarga mendiang, mesyuarat ini sebenarnya sudah dirancang lebih dua minggu lalu..bukannya sebaik mendiang meninggal kami adakan mesyuarat.
“Secara kebetulan, dimana tarikh asal ialah pada 29 Oktober dianjak ke 28 Oktober bagi memberi keselesaan kepada dua ahli parlimen kami kerana pembentangan bajet, tetapi selepas itu ditukar kepada 31 Oktober.
“Sedihnya, pada hari itu (Ahad) kami digemparkan dengan berita pemergian presiden, tetapi mesyuarat itu membuktikan kesatuan kami dalam meneruskan legasi mendiang di samping membantu keluarganya,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami