Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepong, Datuk Norizan Ali mencadangkan jawatan pengerusi parti dimansuhkan sama sekali untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku situasi pimpinan dua nakhoda.

Tegasnya, Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu juga tidak mampu bekerja dengan cemerlang ke arah mengukuhkan parti jika hanya pihak yang menang di dalam pemilihan sahaja ada bersamanya.

Jelasnya, kedua-dua mereka mesti dipayungi oleh semua pihak (menang dan kalah) di dalam parti.

"Harus diingat, perjuangan memenangi pertandingan di peringkat parti hanyalah perjuangan kecil berbanding memastikan parti terus diterima rakyat, menang pilihanraya dan kekal berkuasa.

"Untuk bekerja bagi memastikan kemenangan dalam pilihanraya, ia tidak boleh dilakukan oleh mereka yang menang saja, sebaliknya yang kalah dan yang menang mesti berganding tangan mengembalikan kekuatan. Tidak guna menang dalam parti, tetapi tewas dalam pilihanraya. Juga tidak berguna jika setelah kalah dalam pemilihan parti, lalu merajuk membawa diri sehingga tidak lagi memperdulikan parti.

"Jika semua pihak memahami semangat pertandingan dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi, percayalah, Bersatu mampu terus bertahan dan akan kekal lama menerajui negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pada 15 dan 16 Ogos lalu, pemilihan pemimpin sayap-sayap Bersatu peringkat Pusat telah diadakan.

Norizan menjelaskan, mereka yang kalah diminta tidak kecewa kerana semua ada peranan di dalam Bersatu.

"Warna-warni dalam pemilihan sayap itu dapat dirasai dan minggu ini semasa pemilihan pemimpin di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu telah dimenangi tanpa bertanding oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tetapi pertandingan bagi jawatan Naib Presiden dan MPT tetap dijangka sengit.

"Mereka yang sudah berkempen dan menjelajah ke negeri-negeri bertemu perwakilan, sudah tentu mengharapkan kemenangan serta kejayaan," katanya.

Namun, ujar Norizan, sudah menjadi lumrah dan adat dalam bertanding, ada yang kalah dan ada menang.

Tambahnya, yang menang sudah tentu gembira, tetapi harus diingat mereka menang memegang jawatan akan datang sekali dengan beban serta tanggungjawab yang bukan kepalang.

"Mereka yang kalah mungkin akan berasa kecewa, tetapi kekecewaan itu janganlah sampai melemahkan atau menghancurkan parti.

"Sehari dua berduka lara kerana kalah bertanding barangkali boleh dibenarkan, tetapi selepas itu mereka mesti kembali menyumbang untuk keutuhan parti.

"Mereka yang menang, di sebalik ada jawatan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan pula memilih mengenepikan rakan-rakan yang kalah itu," tegasnya.

Jelasnya lagi, pertandingan dalam parti adalah pertandingan adik-beradik dan kerana itu mereka yang menang mesti mengajak pihak yang kalah untuk bertaut kembali demi keutuhan parti.

"Jangan ketepikan mereka sehingga mereka menjadi semakin jauh daripada parti

"Parti ini adalah parti kita, yang kalah dan yang menang ada saham bersama," katanya.

Selain itu, sesuai dengan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun, Norizan turut mencadangkan agar diwujudkan Srikandi Muda bagi menarik lebih ramai orang muda menyertai Bersatu.