SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu tahun ini.

Jelasnya, keputusan itu diambil selepas berbincang dengan pimpinan negeri dan rakan seperjuangan dalam PKR.

Amirudin turut termasuk dalam 16 calon yang bertanding untuk jawatan Ketua PKR Cabang Gombak dalam pemilihan kali ini.
 

"Selepas saya berbincang dengan semua pihak terutama di kalangan pimpinan di Selangor, peringkat pusat dan negeri lain, serta pimpinan utama Presiden hingga Majlis Pimpinan Pusat (MPP), justeru saya akan menyertai (untuk bertanding jawatan) Naib Presiden Keadilan atas sokongan dan cadangan.

"Langkah ini akan menentukan hala tuju Selangor dan gerak kerja pilihan raya serta menjadi keutamaan penting bagi menentukan kemenangan di Selangor dan menjadi contoh kepada negeri lain seperti kejayaan kita lakukan pada (PRU) 2018 lalu,"  katanya semasa sidang media di Kediaman Rasmi Datuk Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.

Mengulas penyertaan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador yang akan mencabar Ketua PKR Cabang Gombak dan Naib Presiden itu, Amirudin menjelaskan, perkara itu bukan satu masalah kerana PKR merupakan parti yang demokratik dan semua mempunyai peluang untuk menampilkan kepimpinan.

"Biarlah proses demokrasi berjalan sebagaimana prinsip sedia ada. Kita tawarkan satu corak kepimpinan walaupun yang ditawarkan di pihak sana, legasi. Namun, legasi itu ada kepimpinan di Gombak sebenarnya dari segi realiti dan pelaksanaan," tambahnya. 

Justeru, Amirudin berkata, beliau percaya pemilihan parti kali ini akan menjadi penyatu dan pengikat kepada pengukuhan parti di sebalik peristiwa yang berlaku sebelum ini.

Farhash Wafa Salvador pada Isnin mengesahkan menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini, walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding timbalan presiden bagi mencabar Rafizi Ramli.