SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana terpilih dalam Pemilihan PKR 2022 bagi kerusi Ketua Cabang Gombak.

Ucapan itu dinyatakan menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi milik Mohamed Azmin pada Ahad selepas keputusan pemilihan parti itu menunjukkan Amirudin memperoleh 1,858 undi iaitu 351 undi secara fizikal dan 1,507 undi secara dalam talian manakala pencabarnya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memperoleh 1,215 undi ( 679 undian secara fizikal dan 536 undian dalam talian).

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau berharap agar persefahaman akan terus membawa ke arah kebaikan.

“Tahniah Amirudin kerana terpilih. Semoga persefahaman akan terus membawa kebaikan,” katanya dalam ciapan di akaun Twitternya pada Ahad.

Pada Ahad, Amirudin mempertahankan kerusi Ketua Cabang Gombak pada Pemilihan PKR 2022 selepas menewaskan pencabar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Keputusan itu menyaksikan Amirudin menang selesa dengan majoriti 643 undi sementara Timbalan Ketua Cabang Gombak milik A Rahim Ahmad Kasdi menewaskan dua pencabar lain.



* Artikel asal di Sinar Harian