Skip to main content
Advertisement

Politik

Ahmad Zahid mahu parti India bersekutu BN perjuang nasib anak muda dalam TVET

KUALA LUMPUR, 27 Sept - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (enam, kanan) bersama Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) Datuk Seri R.S. Thanenthiran (lima, kanan) pada Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia ke-18 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid (enam, kanan) bersama Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk Seri R.S. Thanenthiran (lima, kanan) pada Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia ke-18 hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu parti politik berasaskan kaum India yang bersekutu dengan gabungan itu terus memperjuangkan nasib anak-anak masyarakat itu menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penekanan terhadap bidang berkenaan penting bagi membuka peluang pekerjaan yang lebih menjamin masa depan generasi muda masyarakat India di negara ini.

“Anak-anak kita mengharapkan kita memperjuangkan nasib mereka. Saya mahu parti-parti India di negara ini yang bersama-sama dengan BN, perjuangkanlah ini, perjuangkanlah TVET untuk anak-anak masyarakat India di negara ini supaya memasuki TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti Malaysia ke-18 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thannenthiran, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Mah Hang Soon serta wakil-wakil parti komponen BN dan Friends of BN.  

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata agenda pendidikan dan latihan kemahiran tidak sepatutnya terhad kepada satu-satu kaum sahaja, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan telah menghantar 1,000 pelajar TVET masyarakat India untuk melanjutkan pengajian ke China secara percuma hasil kerjasama serta penekanan berterusan yang diberikan terhadap bidang tersebut.

“Saya buta warna. Saya tidak kira TVET ini bukan hanya untuk orang Melayu, TVET juga untuk orang Cina, India, Iban, Kadazan… apa juga bangsa dan suku kaum di negara ini saya berikan penekanan.

“TVET membuka laluan kepada anak-anak muda yang dulunya sukar mendapat pekerjaan. Kini, sebelum tamat pengajian TVET telah ada tawaran pekerjaan untuk mereka dengan gaji permulaan melebihi RM3,000 bagi bidang tertentu,” katanya.

Ahmad Zahid turut menggalakkan usahawan mikro masyarakat India untuk memanfaatkan pelbagai insiatif kerajaan termasuk pinjaman perniagaan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang kini telah diluluskan Kabinet untuk dibuka kepada semua kaum.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement