BUTTERWORTH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang memperluas inisiatif “Whitening The Black Spot” ke seluruh negara secara berperingkat dengan Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan program ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan kepimpinan tempatan.
“Yang pertama adalah di Pulau Pinang dan kita pergi setiap daerah, adakan engagement, buat town hall dan sebagainya seterusnya mendengar permasalahan yang ada.
"Kita akan cuba mengatasi permasalahan dengan kerjasama semua agensi yang terlibat, masyarakat, NGO serta kepimpinan pihak tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif “Whitening The Black Spot” Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin serta Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng.
Mohd Khalid berkata program itu menumpukan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai “black spot”, termasuk lokasi yang mempunyai kadar jenayah tinggi atau berdepan isu keselamatan yang memerlukan perhatian khusus.
Beliau berkata fasa pertama pelaksanaan di Pulau Pinang akan berlangsung selama sebulan bagi mengenal pasti kawasan tumpuan serta permasalahan keselamatan di lima daerah di negeri ini.
“Pulau Pinang akan menjadi contoh dan saya akan cuba melaksanakan di negeri-negeri yang lain peringkat demi peringkat,” katanya.
Inisiatif itu juga bukan sekadar operasi penguatkuasaan, sebaliknya pendekatan pencegahan menyeluruh yang melibatkan rondaan, operasi berfokus, penambahbaikan sistem kamera litar tertutup (CCTV), gotong-royong, program kemasyarakatan, pendidikan keselamatan dan intervensi sosial.
Mohd Khalid berkata sebanyak 41 jabatan dan agensi digembleng menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan segenap masyarakat bagi memastikan usaha mewujudkan persekitaran lebih selamat di Pulau Pinang dapat dilaksanakan secara bersepadu.
“Pendekatan Whitening The Black Spot turut menekankan prinsip Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED), termasuk aspek pencahayaan, kebersihan, penyelenggaraan, reka bentuk persekitaran dan kemudahan awam bagi menutup ruang serta peluang berlakunya jenayah," katanya.
Tujuh lokasi dikenal pasti sebagai projek rintis inisiatif itu, iaitu Bukit Jambul, Sungai Nibong, Kampung Ujong Batu, Permatang Pauh, Sungai Rambai, Pondok Upeh dan Bukit Panchor.
“Kita perlu melihat sama ada kadar jenayah menurun, kawasan menjadi lebih teratur, kehadiran polis semakin dirasai dan masyarakat benar-benar berasa lebih selamat, kejayaan yang sebenar ialah perubahan yang dapat dilihat, dirasai dan diyakini oleh seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata PDRM juga perlu memanfaatkan data jenayah, pemetaan kawasan panas, risikan serta trend jenayah bagi memastikan penugasan dan rondaan dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan berkesan.
“Data mesti diterjemahkan kepada tindakan, risikan kepada pencegahan dan maklumat masyarakat kepada intervensi.
“Saya menyeru masyarakat menjadi “mata dan telinga” polis dengan mengenali persekitaran, peka terhadap perubahan serta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan melalui saluran yang betul," katanya.
-- BERNAMA