POLITICS
Pemilihan PKR: Kemenangan ini adalah amanah - Afdlin Shauki

Afdlin (kiri) menegaskan komitmennya untuk bekerjasama erat dengan Nik Nazmi. - Foto Afdlin Shauki
KUALA LUMPUR: “Kemenangan ini adalah suatu amanah yang amat besar.”
Demikian perkongsian pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan menerusi hantaran di Facebook selepas diberikan mandat sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa dalam Pemilihan PKR 2025.
Dalam pemilihan tersebut, Afdlin memperoleh 631 undi, menewaskan penyandang jawatan yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mendapat 563 undi.
Afdlin menyifatkan keputusan itu bukan sekadar satu kejayaan peribadi, tetapi simbol bahawa suara ahli mahukan nafas baharu dalam kepimpinan tempatan yang lebih dekat dengan denyut nadi rakyat.“Kemenangan ini bukan untuk diraikan dengan sorak gembira, sebaliknya untuk direnung sebagai titik mula perjuangan yang lebih besar.
“Ia bukan milik saya seorang, tetapi hasil usaha dan iltizam seluruh jentera kempen yang bekerja seiring dalam semangat satu pasukan dengan satu objektif, iaitu memperkukuh parti Keadilan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Afdlin merakamkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas segala jasa dan sumbangan beliau selama menerajui Cabang Setiawangsa, selain menyifatkan Naib Presiden PKR itu sebagai tokoh reformasi yang berwibawa dan berintegriti.
Afdlin turut menyeru penyokong Nik Nazmi agar bersama-sama memperkasakan cabang, sambil menekankan bahawa perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, namun selepas pemilihan, matlamat bersama perlu diutamakan.
“Cabang ini milik kita semua. Ayuh, kita buka lembaran baharu, bersatu dan bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk bekerjasama erat dengan Nik Nazmi selaku Ahli Parlimen Setiawangsa, serta menyokong segala inisiatif yang sejajar dengan agenda reformasi nasional.
Beliau turut menolak segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, termasuk isu berkaitan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan menjelaskan bahawa keputusan pemilihan ini menjadi bukti ahli bijak menilai berdasarkan keikhlasan dan rekod khidmat.
Sebagai pemimpin yang berasal daripada dunia seni dan aktivisme masyarakat, Afdlin berhasrat membawa pendekatan inklusif dan berjiwa rakyat dalam pentadbiran cabang, dengan menjadikan inisiatif ‘Mesra Setiawangsa’ sebagai teras utama.
“Saya mahu kita menjadi contoh kepada seluruh negara bahawa politik boleh menjadi wadah kasih sayang, perpaduan dan solusi. Ini bukan akhir sebuah perjuangan. Ini permulaan kepada sebuah kebangkitan. Kita akan terus bergerak, terus bekerja dan terus menyatu hati,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami