POLITICS
Pemilihan PKR: Tertiblah dalam berkempen, jangan serang peribadi dan menuduh tanpa asas - Amirudin

Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi penggal 2025-2028, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa semua pihak yang bertanding untuk tidak menyerang peribadi lawan, melontar fitnah atau membuat tuduhan yang tidak berasas.
KUALA LUMPUR: Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi penggal 2025-2028, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa semua pihak yang bertanding untuk tidak menyerang peribadi lawan, melontar fitnah atau membuat tuduhan yang tidak berasas.
Menteri Besar Selangor itu berkata, sebaliknya kempen pemilihan harus dijalankan secara istiqamah, dan berpaksikan kepada semangat setiakawan.
Amirudin berkata, gesaan itu dibuat selepas beliau meneliti perkembangan pemilihan, serta kenyataan media yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini.
“Saya menggesa agar semua sahabat seperjuangan tetap istiqamah berkempen berpaksikan semangat setiakawan dan tidak terpalit fasad serta hasad menyerang peribadi, melontar fitnah serta tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.“Ini bukanlah amalan yang ingin kita lihat dalam proses pemilihan sebuah parti ‘reform’ yang dipanggil sebagai Parti Keadilan Rakyat.
“Justeru itu, saya menyeru semua pihak yang mengambil bahagian termasuk diri saya sendiri agar kita bersama menjaga rukun dan tertib dalam berkempen serta mematuhi tatacara yang digariskan oleh pihak JPP,” katanya lagi.
Beliau berkata, pemilihan itu harus menjadi pentas untuk menampilkan idea dan gagasan masing-masing secara sihat dan matang, serta peluang untuk prestasi parti dalam penggal sebelum ini dinilai oleh anggota parti dan turut diperhatikan oleh rakyat.
Sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, rakyat akan menilai segala tindak tanduk serta perbuatan yang ditonjolkan.
Sebelum ini media melaporkan, JPP PKR menafikan dakwaan Rafizi, berhubung pengurusan Pemilihan Parti Keadilan 2025 yang didakwa tidak telus dan tidak mengambil kira aduan ahli.
Dalam satu kenyataan, JPP menegaskan bahawa segala proses berkaitan senarai pengundi telah dijalankan secara telus mengikut peraturan sedia ada.
Timbalan Pengerusi JPP 2025, Datuk Ahmad Kasim, yang juga Pengerusi Biro Bantahan dan Aduan berkata, senarai keanggotaan yang digunakan adalah senarai terkini yang disahkan melalui proses eKYC sebelum dimuktamadkan sebagai senarai pemilih yang sah.
Rafizi dalam siaran podcast Yang Bakar Menteri sempena siri pertama jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Seri Kembangan pada Sabtu lepas mendakwa terdapat gerakan terancang untuk menyingkirkan beliau dari pucuk pimpinan.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, keputusan pengundian di peringkat cabang menunjukkan pola yang konsisten untuk memastikan pasukan beliau tidak mendapat tempat di peringkat ketua cabang, dan seterusnya menggugat peluangnya untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami