IPOH: Sepuluh ketua wanita UMNO bahagian di Perak diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin di bahagian Tanjung Malim, Saliza Ahmad (Larut), Norsalewati Mat Norwani (Parit Buntar), Datin Yatimah Khalid (Taiping) dan Masarah Abdullah (Ipoh Timur).

Lima lagi ialah Mazlina Musa (Batu Gajah), Zaleha Mohd Said (Kampar), Sabariah Zakaria (Lumut), Zainun Ahmad (Teluk Intan) dan Taslimah Jalaludin (Padang Rengas) yang juga merupakan muka baharu.

Mereka yang mempertahankan jawatan masing-masing pula ialah ADUN Temengor Salbiah Mohamed di bahagian Gerik, Romaizar Mat Ali (Lenggong), Norlela Che Man (Bukit Gantang), Datuk Zaitun Ab Rahman (Sungai Siput), Surai Hussin (Tambun), Norul Huda Ahmad Nator (Ipoh Barat), Salmah Sojak (Beruas) dan Zarozatin Isa (Bagan Datuk).

Selain Taslimah (Padang Rengas), enam muka baharu terpilih mengetuai sayap Wanita bahagian ialah Norsyuhada Baharon (Bagan Serai), Fadilah Othman (Kuala Kangsar), Noreshah Saaiddin (Parit), Juliliyana Mohd Junid (Gopeng), Anis Salmi Mansor (Tapah) dan anak bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Sri Rahayu Tajuddin (Pasir Salak).

Sri Rahayu turut memenangi jawatan Exco Wanita UMNO pusat apabila mendapat undi ketiga tertinggi dengan 320 undi.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lepas.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

-- BERNAMA