Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan kepentingan parti secara keseluruhan dan bukan hanya mempertahankan parti masing-masing.

Pengerusi MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata sebarang pertikaian atau ketidaksefahaman akan merugikan parti BN dalam mendepani cabaran politik semasa, khususnya pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan pemimpin parti-parti komponen BN supaya menyelesaikan semua masalah dalaman parti secara tertutup, dan bukannya membuat kritikan secara terbuka.

Setiap komponen parti termasuk MIC, MCA dan Gerakan juga jelasnya perlu mematuhi konsesus BN dengan berbincang secara sebulat suara serta mengikut saluran yang betul dalam menyelesaikan isu membabitkan parti masing-masing.

"Pemimpin komponen parti perlu menggelakkan benda macam ini kerana ia tidak membantu kita dalam politik. Kita mempunyai konsensus BN dan di dalam mesyuarat BN banyak isu dibincangkan dan keputusan dibuat.

"Di negara kita yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan dinamik politik pun berbeza, perkara itu tidak boleh dielakkan tetapi cara kita menanggani perkara ini sangat mustahak.

"Sekiranya perkara ini menjadi debat terbuka secara awam ini akan membuka peluang kepada pihak pembangkang dan cara ini tidak sesuai," katanya di Majlis Perlancaran Galeri 70 tahun MIC di sini hari ini

Beliau mengulas kenyatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang mencabar parti MCA keluar BN.

Subramaniam seterusnya menyifatkan kenyataan seumpama itu tidak seharusnya keluar daripada seorang pemimpin berkaliber seperti Datuk Seri Nazri.

Sebelum ini, Datuk Seri Nazri merujuk kepada desakan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker supaya UMNO tidak lagi menggunakan taktik menakutkan kaum lain bagi mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Menurut Lian Ker, taktik politik jaguh kampung itu boleh menghakis sokongan pengundi luar bandar, khususnya di kawasan majoriti Melayu dengan mengorbankan rakan gabungan BN.